ROYALTI: Runding hingga capai matlamat

0

KUCHING: Kerajaan negeri akan meneruskan rundingan dengan kerajaan pusat berhubung isu royalti petroleum yang merupakan perkara paling dekat di hati rakyat Sarawak.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berkata, meskipun rundingan tersebut masih belum mencapai sebarang kelulusan, namun ia akan tetap diteruskan sehingga mencapai matlamat.

“Seperti yang sering saya nyatakan, selepas resolusi berhubung isu royalti petroleum ini diluluskan pada Mesyuarat Dewan Undangan Negeri (DUN) Mei 2014, kerajaan negeri telah berunding dengan Petronas bagi mengenal pasti penyelesaian bagi mengatasi perkara ini.

“Hasil daripada rundingan antara kerajaan negeri dan Petronas, persetujuan telah dicapai untuk kedua-dua pihak memberi perhatian ke atas lima bidang dalam kerjasama bagi mengatasi isu royalti serta membolehkan penyertaan lebih besar Sarawak dalam industri minyak dan gas,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penghargaan Kontraktor PETRONAS Sarawak di sebuah hotel terkemuka di sini semalam.

Jelas Adenan lagi, lima bidang yang dipersetujui untuk jalinan kerjasama antara kerajaan negeri dan Petronas ialah bekalan gas asli, penyertaan ekuiti kerajaan negeri, latihan pendidikan dan teknikal, sumber manusia, kontrak dan peluang perniagaan dan tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Selain itu, rundingan antara kerajaan negeri dan Petronas turut memperlihatkan beberapa kemajuan di mana pada Februari tahun ini, Petronas telah melancarkan tiga pejabat pelesenan di Kuching, Miri dan Bintulu.

Petronas, katanya, juga bersetuju untuk memperuntukkan agihan kontrak bernilai RM2.5 bilion kepada vendor-vendor Sarawak menerusi saingan bidaan.