Sorok dalam peket kopi

0

Oleh Jeremy Lanson//

 

BONGKAR: Lukas menunjukkan peket minuman kopi segera yang mengandungi serbuk ekstasi.

KUCHING: Cubaan sepasang kekasih mengedar dadah dengan menyembunyikannya di dalam peket minuman kopi segera berjaya dipatahkan pihak polis dalam satu serbuan ke atas sebuah rumah di Jalan Sungai Maong, kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak Superintenden Lukas Aket berkata, pasangan terbabit iaitu seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun dan wanita warga asing berusia 33 tahun ditahan dalam serbuan sekitar jam 4 petang.

“Pemeriksaan ke atas rumah tersebut berjaya menemui pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai RM18,000 dan dipercayai dijual untuk pasaran tempatan.

“Berjaya ditemui ialah serbuk ekstasi yang disimpan di dalam peket kopi segera dianggarkan sebanyak 1.592 kilogram (kg), 37 gram lagi belum dibungkus, 12.75 gram pil ekstasi, 15.14 gram pil Erimin 5, 1.88 gram ketamin dan 21.34 gram syabu,” ujarnya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini, semalam.

Lukas memberitahu, pasangan terbabit turut didapati positif dadah jenis Amphetamine dengan suspek lelaki memiliki rekod jenayah lampau berkaitan penyalahgunaan dadah.

“Kedua-dua suspek direman selama enam hari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan,” katanya.

Menurut Lukas lagi, taktik menyembunyikan dadah di dalam peket minuman segera bukan perkara baharu di mana beberapa suspek menggunakan taktik sama juga pernah ditangkap di Sibu sebelum ini.

“Hakikatnya ialah kaedah ini menyukarkan kami untuk mengesan (dadah), sebab itu kami memerlukan maklumat daripada orang ramai.

“Sukar bagi kami untuk menghentikan setiap penumpang yang menaiki pesawat atau bas bagi tujuan memeriksa mereka yang membawa peket mimuman segera,” katanya.