Warga Kuching diajak jayakan Hari Sarapan Malaysia

0

Oleh Hamimi Kassim//

 

MARI MERIAHKAN: James (tengah) bersama Affandi, Andrew dan rombongan bergambar selepas sesi perjumpaan bersama dengan Datuk Bandar MBKS untuk Hari Sarapan Malaysia pada Ahad ini di MBKS, Kuching semalam.

KUCHING: Masyarakat bandar raya ini dijemput hadir memeriahkan Hari Sarapan Malaysia yang akan diadakan di Dewan Masyarakat, Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) di sini pada Ahad, 26 April ini.

Bermula seawal jam 6 pagi, matlamat utama program anjuran Milo dengan sokongan MBKS dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu adalah bagi meningkatkan kesedaran tentang pentingnya mengambil sarapan dalam kalangan masyarakat.

Menurut Pengurus Urusan Pengguna Nestle Product Sdn Bhd Andrew Yoon, program ini merupakan satu usaha menimbulkan kesedaran pentingnya mengambil sarapan oleh Milo.

Tambahnya, pelbagai aktiviti menarik diadakan seperti acara larian sejauh 7km dan 3km serta permainan terbuka kepada masyarakat yang hadir.

“Pada Hari Sarapan Malaysia ini nanti kita turut menyediakan 2,500 beg sarapan Milo mengandungi produk Nestle dan kupon sarapan RM3 bagi ‘siapa cepat dia dapat’ dan mereka yang berusia tujuh tahun ke atas,” katanya semasa perjumpaan dengan Datuk Bandar MBKS, Datuk James Chan di pejabatnya semalam.

Kata Andrew, penyertaan bagi acara larian sejauh 7km dan 3km terbuka kepada individu dan keluarga untuk 2,500 peserta yang berjaya dicapai pada tarikh tutup penyertaan, 19 April lalu.

“Untuk ini, kita ingin mengucapkan terima kasih kepada warga Kuching kerana sambutan menggalakkan diterima bagi acara larian yang kita adakan ini.

“Disebabkan kita hanya menetapkan 2,500 peserta sahaja yang mana pelari menerima baju dan medal, namun begitu orang ramai yang berminat tetap boleh menyertai acara ini sebagai pelari bebas sahaja semasa acara berlangsung nanti,” ujarnya.

Sementara itu, James berkata MBKS sentiasa menyokong penuh program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang diadakan bertujuan memberi manfaat kepada masyarakat.

“Program Hari Sarapan Malaysia ini merupakan inisiatif yang sungguh bermanfaat dan kita sememangnya menyokong acara dan program seperti ini diadakan.

“Kita juga berharap ia dapat diteruskan lebih lagi pada masa akan datang dan saya mengajak ibu bapa untuk membawa keluarga masing-masing pada pagi Ahad ini nanti,” ujarnya.

Turut hadir pada sesi perjumpaan tersebut Timbalan Datuk Bandar Kuching Selatan Abang Affandi Abang Anuar dan rombongan daripada Nestle Product Sdn Bhd.

Untuk maklumat dan mengetahui lebih lanjut mengenai Hari Sarapan Malaysia, orang ramai yang berminat boleh melayari laman web www.milo.com.my/breakfast/MBD.