12 kategori IPS perlu daftar dengan KPM

0

KUCHING: Terdapat 12 kategori Institusi Pendidikan Swasta (IPS) di Sarawak dan kesemuanya perlulah berdaftar dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebelum beroperasi.

IPS tersebut ialah tadika swasta, pusat tuisyen, pusat kemahiran/pusat latihan, pusat bahasa, pusat perkembangan minda, sekolah rendah/menengah akademik, sekolah antarabangsa, sekolah ekspatriat, sekolah menengah persendirian Cina, sekolah pendidikan khas dan pusat bimbingan.

Menurut jurucakap Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), menjadi tanggungjawab ibu bapa memastikan 10 perkara seperti penubuhan institusi diluluskan, institusi dan pengetua atau guru besar didaftarkan, kursus pengajian, yuran, pertukaran dan pengubahsuaian permit diluluskan, tenaga pengajar memiliki permit mengajar, pengelola didaftarkan, pengambilan pelajar dan tenaga pengajar antarabangsa serta bahasa penghantar selain Bahasa Kebangsaan diluluskan.

“Hantar anak-anak belajar di IPS yang berdaftar kerana di situ keselamatan, kesihatan dan standard pembelajaran sentiasa diselia serta dipantau oleh KPM, pihak berkuasa tempatan, Jabatan Bomba dan Jabatan Kesihatan dari semasa ke semasa.

“Guru dan kakitangan yang diambil bekerja juga telah melalui tapisan keselamatan Unit Cawangan Khas, Polis Diraja Malaysia dan KPM,” katanya merujuk risalah pada Program Jom Daftar di sini, semalam.

Dalam pada itu, semua IPS hendaklah mematuhi syarat peruntukan undang-undang serta peraturan Akta Pendidikan 1996 (Akta 550), Akta Pelajaran 1961 dan peraturan pendidikan yang dibuat di bawahnya.

Sekiranya didapati ingkar, pengusaha boleh didenda atau dipenjara maksimum RM50,000 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya.

Justeru bagi permohonan penubuhan tadika dan pusat tuisyen, borang permohonan hendaklah dikemukakan kepada Pendaftar Institusi Pendidikan dan Guru, JPN Sarawak di Jalan Diplomatik Off Jalan Bako, Petra Jaya di sini.

Manakala permohonan IPS lain, borang permohonan perlulah dikemukakan kepada Bahagian Pendidikan Swasta (BPS) ke Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya.