Amalan kitar semula perlu disemai

0

Setiap lapisan masyarakat bertanggungjawab jaga alam sekitar: Rubiah

Oleh Rusnan Mustafa //

ASAJAYA: Amalan kitar semula dan pemahaman penjagaan alam sekitar perlu disemai dalam diri setiap lapisan masyarakat di negara ini.

Ahli Parlimen Kota Samarahan Rubiah Wang berkata, ia penting bagi memastikan bumi dihuni tidak rosak dan dilonggok sampah sarap.

Beliau menegaskan antara ancaman alam sekitar semakin meruncing di Malaysia pada masa kini adalah pembuangan sisa pepejal.

Katanya, pembuangan bahan ini semakin meningkat saban hari walaupun tapak pelupusan sisi pepejal semakin berkurangan.

“Mengikut perangkaan, Malaysia antara negara paling banyak menghasilkan sisa pepejal iaitu kira-kira 17,000 tan metrik setiap hari dan 5 juta tan metrik setahun.Namun, amalan kitar semula masih lagi rendah iaitu pada aras lima peratus setahun. Kadar ini amat rendah berbanding dengan negara lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Sambutan Hari Bumi 2015 di Asajaya Town Square di sini semalam.

Rubiah menjelaskan, dijangka menjelang 2020, penduduk di Malaysia akan menghasilkan sehingga 30,000 tan sisa pepejal sehari.

“Ini bermaksud setiap seorang rakyat Malaysia secara puratanya menjana kira-kira 100 kilogram sisa pepejal sehari. Jumlah ini boleh memenuhkan kawasan seluas tiga padang bola sepak,” katanya.

Justeru, Rubiah berharap program sambutan Hari Bumi dapat meningkat kesedaran masyarakat khususnya golongan muda terhadap isu alam sekitar ini.

Pada masa sama, beliau menjangka program itu mampu meningkatkan kadar peratusan amalan kitar semula sebanyak 20 peratus yang disasar menjelang 2020.

“Usaha menyemai dan membudaya amalan kitar semula dilaksana secara berterusan turut dianjurkan di peringkat sekolah,” ujarnya.

Hadir sama Penolong Setiausaha Majlis Daerah Kota Samarahan Ngerong Balan, Pegawai Daerah Asajaya Habari Bakar, Temenggung Bahagian Samarahan Chek Bujang dan tetamu kehormat lain.