KPM sasar daftar 88 peratus prasekolah tahun ini

0

Program Jom Daftar mampu semai kesedaran ibu bapa hantar anak-anak ke tadika yang berdaftar

Oleh Hamimi Kassim //

KUCHING: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyasar untuk mencapai pendaftaran prasekolah sebanyak 88 peratus atau 873,417 kanak-kanak bagi tahun 2015 di negara ini.

Menurut Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Abang Mat Ali Abang Masagus, pendaftaran prasekolah direkodkan bagi tahun 2014 adalah sebanyak 84.21 peratus, meningkat sebanyak 2.5 peratus dari tahun sebelumnya.

Justeru, beliau berkata, Program Jom Daftar yang diadakan di seluruh negara diharap dapat memberi kesedaran kepada ibu bapa agar menghantar anak-anak mereka seawal umur empat tahun ke tadika yang berdaftar dengan KPM.

“Program Jom Daftar ini merupakan kali keempat diadakan selepas di Ipoh Parade, Perak (28 Februari 2015), Queensbay Mall, Georgetown Pulau Pinang (21 Mac) dan Palm Square Centre Point, Kota Kinabalu Sabah (28 Mac).

“Program ini merupakan hasrat KPM dalam usaha meningkatkan pendaftaran prasekolah negara,” katanya semasa berucap merasmikan program berkenaan di Kompleks Beli-Belah Riverside di sini, semalam.

Tambah beliau, selain memberi kesedaran kepada orang awam khasnya ibu bapa mengenai kepentingan pendidikan awal kanak-kanak, ia turut menjadi landasan bagi tadika setempat yang masih belum berdaftar untuk mendaftar dan tampil mendapatkan maklumat.

Dalam pada itu, Mat Ali turut memaklumkan KPM telah melancarkan laman web carian bagi ibu bapa menyemak status pendaftaran tadika yang berdaftar dengan KPM untuk memudahkan mereka mengenal pasti tadika yang sesuai serta mematuhi piawaian dan peraturan ditetapkan.

“Ibu bapa boleh melaporkan sekiranya terdapat tadika yang beroperasi di kejiranan mereka yang tidak berdaftar atau tiada dalam senarai secara terus kepada KPM bagi tindakan lanjut oleh KPM.

“Orang ramai dan ibu bapa khususnya adalah dinasihati untuk melayari laman web www.smpk.moe.gov.my/carian_institusi.html bagi maklumat lanjut mengenai status pendaftaran tadika di kejiranan masing-masing,” jelasnya.

Selain itu, katanya, pelbagai insentif serta bantuan di bawah Program Transformasi Kerajaan (GTP 2.0) kepada pengusaha tadika swasta berdaftar dan memenuhi kriteria dan syarat bagi menggalakkan pendidikan awal kanak-kanak.

“Ini termasuklah Bantuan Yuran Murid (BYM) Tadika Swasta RM150 seorang sebulan, Geran Permulaan Tadika Swasta bernilai RM10,000 atau RM20,000 serta bantuan pengajian kepada guru untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang Pendidikan Awal Kanak-Kanak RM1,000,” tambahnya.

Bagi maklumat lanjut mengenai bantuan serta pendaftaran tadika yang masih belum belum berdaftar, tambah beliau, mereka dinasihati untuk menghubungi Sektor/Unit Pendidikan Swasta di Jabatan Pendidikan Negeri yang berkaitan.

Turut hadir pada majlis tersebut Pengarah Institut Aminuddin Baki Serina Sauni.