MIDF lulus RM3.6 bilion bagi skim pinjaman mudah

0

SIBU: Setakat 31 Mac lalu, MIDF meluluskan RM3.6 bilion di bawah skim-skim pinjaman mudah kerajaan diuruskannya memberi manfaat kepada 3,259 syarikat-syarikat tempatan.

Pengarah Urusan Kumpulan MIDF, Datuk Mohd Najib Abdullah berkata daripada jumlah itu RM190.7 juta diluluskan kepada 220 syarikat di Sarawak.

“Pembiayaan disediakan MIDF kepada usahawan terutamanya Industri Kecil dan Sederhana (IKS) adalah membantu kerajaan mencapai objektif mewujudkan ekonomi berpendapatan tinggi.

“Ini dilakukan melalui aktiviti ekonomi berdaya saing dan berteknologi tinggi dan didorong pengetahuan sekali gus untuk menggalakkan keterangkuman sosioekonomi dan kemajuan rakyat negara ini,” katanya pada Simposium Usahawan MIDF sempena Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2015 di sini semalam.

Simposium dihadiri seramai 700 peserta disempurnakan Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Pembangunan Usahawan Bumiputera) dan Perancangan Sumber, Datuk Mohd Naroden Majais.

Hadir sama Timbalan Presiden Korporat dan Pembangunan Modal Insan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Datin Paduka Jamiah Abdul Hamid.

Najib berkata, MIDF juga memainkan peranan memastikan syarikat-syarikat IKS sentiasa berada di tahap kompetitif menghadapi persaingan syarikat antarabangsa dan turut membantu mereka menembusi pasaran global.

“MIDF melalui anak syarikatnya, MIDF Investment berhasrat membantu syarikat-syarikat tempatan mencapai tahap kesediaan bagi penyenaraian di Bursa Malaysia,” ujarnya.

Najib memberitahu, MIDF Investment Bank juga mempunyai pelanggan-pelanggan di Sarawak.

“Salah satu projek MIDF Investment dilantik sebagai penasihat kewangan ataupun penasihat kewangan ialah pembangunan kilang ‘phosphate’ bersepadu bernilai RM1.5 bilion di Samalaju Industrial Park Bintulu,” katanya.

MIDF ditubuhkan 55 tahun lalu melalui hasil kajian Bank Dunia memajukan ekonomi negara dengan menyediakan pinjaman jangka sederhana dan panjang bagi syarikat-syarikat tempatan.

Ia merupakan institusi kewangan pembangunan pertama bertapak di Malaysia dan kini sebuah institusi kumpulan kewangan  bersepadu menawarkan tiga perniagaan teras.

Tiga perniagaan teras iaitu Perbankan Pelaburan melalui anak syarikat MIDF Amanah Investment Bank Berhad (MIDF Investment), Kewangan Pembangunan melalui Divisyen Kewangan Pembangunan serta Pengurusan Aset melalui MIDF Amanah Asset Management Berhad (MIDF Amanah).

MIDF mempunyai cawangan di Kuching dan Kota Kinabalu kedua-duanya dibuka pada 1970.