MSAM 2015 terus terima kunjungan orang ramai

0

PILIHAN BIJAK: Peserta pameran memberi penjelasan kepada para pengunjung.

SIBU: Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2015 memasuki hari ketujuh terus menerima kunjungan orang ramai pelbagai lapisan masyarakat.

Tinjauan Utusan Borneo semalam mendapati orang ramai memenuhi tapak program yang berlangsung di Dataran Bandar Sibu di sini seawal jam 9 pagi.

Pelbagai aktiviti dan permainan berkaitan pendidikan pelaburan diadakan untuk disertai pengunjung.

Antara aktiviti diadakan Program Cendekiawan Muda (peringkat akhir), Maybank Mewarnai Duniaku, lawatan berkumpulan para pelajar, slot ikon dan aktiviti hibur dan labur.

Di samping itu, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Pembangunan Usahawan Bumiputera) dan Perancangan Sumber, Datuk Mohd Naroden Majais turut hadir merasmikan Simposium Usahawan PNB-MIDF MSAM 2015 semalam.

Seramai 700 orang usahawan Industri Kecil Sederhana (IKS) dan peniaga kecil dari Sibu, Sarikei, Mukah dan Julau hadir pada simposium tersebut.

Dalam pada itu, MSAM 2015 berjaya mencatatkan seramai lebih 138,000 orang pengunjung dalam masa empat hari program itu berlangsung.

PNB menyasarkan MSAM 2015 berjaya menarik 150,000 pengunjung sepanjang program berlangsung dari 19 hingga 27 April.