Operasi banteras PATI terus dipergiat di Miri

0

MIRI: Operasi membanteras warga asing tanpa dokumen perjalanan sah dari Filipina akan diterus dari semasa ke semasa melibatkan operasi bersepadu pelbagai agensi kerajaan.

Menteri Muda Perhubungan Datuk Lee Kim Shin berkata agensi kerajaan menjalankan tiga operasi sebelum ini dan ia menampakkan kejayaan sekali gus menakutkan pendatang asing tanpa izin (PATI).

“Sekarang isu PATI tidak lagi menjadi isu besar di Miri kerana kita telah menjalankan operasi secara besar-besaran.

Ia menampakkan kesan besar,” katanya kepada Utusan Borneo semalam.

Lee menjelaskan, bagaimanapun operasi berkenaan akan diterus dari semasa ke semasa sehingga isu PATI bukan lagi masalah besar di bandar raya ini.

Menteri Muda Sukan itu berkata operasi membendung kehadiran PATI itu akan tetap dilaksana selaras kehendak kerajaan negeri menjaga keselamatan dan ketenteraman negara.

“Sehingga kini, operasi yang dilancar menampakkan hasil dan kehadiran PATI di bandar raya ini kian merosot,” tegasnya.

Lee berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai kenyataan seorang wakil rakyat pembangkang yang mendakwa kehadiran warga PATI di Miri ada berkaitan dengan isu rasuah.

Wakil rakyat pembangkang itu sebelum ini mengeluarkan kenyataan dalam Radio Free Sarawak yang mendakwa terdapat unsur rasuah yang menyebabkan bandar raya Miri dibanjiri PATI dari Filipina.

Lee bagaimanapun menyangkal dakwaan berkenaan sebaliknya memberitahu operasi yang dilaksanakan barubaru ini telah menampakan bukti kukuh bahawa kerajaan komited membendung kehadiran PATI.