Pemuda SPDP, PRS kecam tindakan Alvin Tan persenda azan

0

KUCHING: Tindakan penulis blog seks Alvin Tan yang mempersendakan azan dikecam pergerakan Pemuda dua parti komponen Barisan Nasional (BN) Sarawak.

Menerusi kenyataan berasingan, Pemuda SPDP dan Pemuda PRS menegaskan adalah salah mempersendakan agama orang lain.

Ketua Pemuda SPDP Robert Ayu berkata, tindakan demikian boleh mencetus ketegangan dalam kalangan rakyat berbilang kaum dan agama di Malaysia.

“Dia orang muda yang tidak betul. Amat berdendam dan tidak sensitif terhadap perasaan orang lain.

“Bagaimanapun, kita berharap dan percaya rakyat Malaysia yang matang maklum tindakan Tan tidak mewakili sentimen mana-mana komuniti atau agama di Malaysia.

“SPDP meminta Tan menghentikan tindakan yang tidak bertanggungjawab. Kita semua masyarakat yang penyayang,” ujarnya.

Pemuda PRS, menerusi kenyataan yang dikeluarkan Pegawai Penerangan Bit Surang berkata, tindakan terbaharu Tan itu amat mengejutkan dan tidak dapat diterima dalam masyarakat berbilang latar belakang seperti Malaysia.

Katanya, tidak ada sesiapa yang dibenarkan memperlekehkan agama atau amalan orang lain.

“Kita tidak wajar memperlekehkan kepercayaan orang lain. Kebebasan bersuara mempunyai had tertentu, terutama apabila mempersendakan agama,” ujarnya.