Wakil rakyat dinasihat bersama bangun Dayak

0

KUCHING: Wakil rakyat Dayak khasnya diingatkan supaya bersama membangunkan kaum itu jika mahu membela nasib mereka dan bukannya hanya bercakap atau menuding jari kepada kepimpinan.

Menteri Muda Kemudahan Awam Bekalan Awam (Bekalan Elektrik dan Telekomunikasi) Datuk Dr Stephen Rundi Utom berkata wakil rakyat seharusnya bersama-sama memajukan kaum Dayak agar lebih maju dan berjaya.

“Pada padangan saya, ada dalam kalangan kita kaum Dayak ini terlalu tidak sehaluan dan ada dalam kalangannya lebih senang dimanipulasi oleh orang lain.

“Mereka memang mempunyai pendapat untuk membantah terutamanya membangkang kaum sendiri tetapi tidak pernah serius bagi membantu dan menjalankan kerja untuk membawa pembangunan kepada kaum Dayak lebih berjaya atau maju,” ujarnya.

Beliau yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Negeri berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelagus George Lagong pada persidangan DUN Jumaat lepas, di mana beliau menyatakan bahawa tidak ada pemimpin Dayak yang benar-benar mahu membela nasib dan memartabatkan kaum itu selepas 51 tahun merdeka.

“Sama ada dari segi ekonomi, pendidikan, budaya, politik dan psikologi, di mana kemajuan yang telah dicapai oleh kita kaum Dayak,” kata George.

Dr Rundi menegaskan: “Saya mahu bertanya kepada Yang Berhormat Pelagus, apa yang telah beliau lakukan dalam memajukan gaya hidup kaum Dayak? Jangan bercakap sahaja.”

Sementara itu Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Komunikasi Dato Sri Michael Manyin Jawong berkata, kaum Dayak diakui masih ketinggalan kerana kurangnya perpaduan dalam kalangan kaum sendiri.

“Saya mungkin tidak memahami kesemuanya apa yang dinyatakan beliau (George) kerana menggunakan bahasa Iban.

“Namuan apa yang saya akui, bahawa kita kaum Dayak masih ketinggalan disebabkan kurangnya perpaduan, setiap daripada kita mempunyai cara tersendiri,” kata Ketua Penasihat Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) itu.

Jelasnya mungkin setiap daripada kaum Dayak sama ada Iban, Bidayuh mahupun Orang Ulu, perlu kepimpinan tunggal untuk membawa ketiga-tiga kumpulan etnik berkenaan ke arah lebih maju.