YGMB badan kebajikan terbaik: KM

0

BANTUAN: Naroden mewakili Ketua Menteri Datuk Patinggi Adenan Satem menyampaikan bantuan kebajikan kepada ahli YGMB dan disaksikan Alimuddin (kanan). Turut kelihatan Pemangku Pengarah Pendidikan Negeri Abang Mat Ali Abang Masagus (dua kiri).

Pelbagai inisiatif dilaksana untuk jaga kebajikan, beri nilai tambah guru

Oleh Jessica Jawing //

KUCHING: Pelbagai inisiatif serta strategi yang dilaksana Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) dalam menjaga kebajikan guru di negara ini harus dijadikan contoh kepada badan kebajikan lain.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berkata, YGMB sebagai sebuah badan kebajikan terbaik melalui inisiatifnya mampu memberi nilai tambah kepada warga pendidik.

“Keprihatinan YGMB terhadap hal ehwal kebajikan guru patut diberikan pujian dan penghargaan. Misalnya badan kebajikan ini  turut membantu ahli terjejas akibat bencana banjir baru-baru ini,” katanya.

Beliau berkata demikian melalui teks ucapan dibacakan Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Pembangunan Usahawan Bumiputera) Datuk Mohd Naroden Majais ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahuan Ke-21 YGMB.

Turut hadir ialah Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YGMB Tan Sri Datuk Alimuddin Mohd Dom di sini, semalam.

Adenan menjelaskan, YGMB sentiasa tampil ke hadapan menghulur pelbagai bentuk sumbangan bukan sahaja kepada ahli malah kepada golongan memerlukan terutama berkaitan dengan hal ehwal kebajikan pendidikan.

Beliau menjelaskan turut dimaklumkan YGMB berjaya melaksana program bantuan pendidikan asas kepada lebih 100 kanak-kanak tanpa dokumen di Pulau Mabul, Semporna Sabah pada tahun 2013 dan 2014.

“Program ini antara program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dilaksanakan YGMB bagi membantu golongan memerlukan memperoleh pendidikan asas persekolahan.

“Melaluinya, YGMB diharap akan menjadi contoh kepada badan kebajikan seluruh negara,” katanya.

Adenan berkata, dengan adanya pelbagai strategi dan penambahbaikan dari semasa ke semasa, YGMB diyakini mampu menjadi badan kebajikan berdaya saing serta lebih disegani pada masa akan datang.

Terdahulu, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YGMB Tan Sri Datuk Alimuddin Mohd Dom dalam ucapannya berkata, sebanyak 16 faedah kebajikan baharu dinikmati ahlinya dengan hanya bayaran yuran sebanyak RM10 sebulan.

“Ini sekali gus menjadikan skim tersebut adalah satu-satunya skim mampu memberi sumbangan kebajikan sedemikian di pasaran,” katanya.

Katanya, berakhir 31 Disember 2014, seramai 7,052 telah mendaftar sebagai ahli baharu YGMB dan menjadikan jumlah keseluruhannya seramai 83,193 ahli.

“Dengan penyertaan kira-kira 5,000 ahli baharu setiap tahun, ia dilihat dapat memberi gambaran mengenai keyakinan warga pendidik kepada peranan sebenar YGMB.

“Sejak ditubuhkan YGMB telah membelanjakan lebih RM12 juta bagi membiayai sumbangan kebajikan ahli.  Bagi tahun 2014 sahaja, sebanyak RM1.6 juta dibelanjakan berbanding hanya sebanyak RM593,767 pada tahu 2013,” katanya sambil memberitahu ia sekali gus merupakan nilai sumbangan tinggi pernah direkodkan.

Bagi mengukuhkan sumber pendapatan ahlinya kata Alimuddin, YGMB menerusi usahasama dengan Bank Simpanan Nasional (BSN) telah memperkenalkan Kad Kredit 1TeachersCard.

“Usahasama ini telah berjaya meraih pendapatan sebanyak RM3 juta sejak ia dilancarkan pada 2013 dan sehingga kini terdapat lebih 50,00 guru merupakan pengguna aktif kad kredit ini di seluruh negara,” katanya.