Fahami pengambilan nutrisi penting bagi pesakit kanser

0

MIRI: Orang ramai yang memiliki tubuh sihat tidak mempunyai masalah mengambil pemakanan mencukupi namun pola pengambilannya berbeza bagi pesakit kronik.

Penceramah Dietetik Pusat Kanser Parkway Singapura Fahma Sunarja berkata, pesakit kanser terpaksa menjalani jadual pemakanan secara diet.

“Bagi kebanyakan orang, diet akan melibatkan pengambilan lebih banyak buah-buahan dan sayur-sayuran termasuk pengambilan makanan lain yang seimbang,” katanya pada Bengkel Kesedaran Nutris, malam kelmarin.

Menurutnya, pemahaman terhadap nutrisi amat penting bagi rawatan pesakit kanser kerana mereka memerlukan protein dan kalori yang mencukupi.

“Pada masa sama, semasa mengamalkan diet mereka perlu mengambil lebih telur, daging merah dan makanan tambahan lain yang diperlukan tubuh,” jelasnya.

Sunarja berkata bengkel berkenaan dianjurkan bagi mendedahkan orang ramai terhadap pengambilan nutrisi yang mencukupi bagi mereka yang menghadapi rawatan kesihatan.

Bengkel itu telah dirasmikan oleh Menteri Muda Perhubungan Datuk Lee Kim Shin.

Ia turut dihadiri Pegawai Kaunseling Pusat Kanser Parkway Singapura Connie Tan.