Filipina teguh kerjasama perangi ekstremisme

0

KUALA LUMPUR: Filipina akan teguh bekerjasama dengan ASEAN, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan negara-negara lain dalam memerangi ekstremisme dan keganasan radikal, kata Setiausaha Luarnya Albert F. Del Rosario.

Rosario dalam ucapannya pada Mesyuarat Menteri-menteri Luar ASEAN semalam turut menyuarakan kecaman Filipina terhadap jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan yang dilakukan ISIS. Teks ucapan beliau diedarkan kepada media di sini.

Beliau berkongsi dengan forum itu tentang komitmen Filipina untuk turut menyumbang dalam usaha memerangi ekstremisme, keganasan dan jenayah terhadap kemanusiaan dengan melibatkan diri atau bekerjasama dengan negara-negara lain.

Bidang kerjasama itu meliputi perkongsian maklumat, penyiasatan bersama, kempen pendidikan, bantuan kemanusiaan terhadap mangsa, mengehadkan aliran dana yang ditujukan untuk membiayai keganasan, menyokong resolusi yang bertujuan membendung keganasan dan memperluas undang-undang untuk menangani keganasan, katanya.

Pada mesyuarat itu, beliau mengalu-alukan usaha Malaysia sebagai pengerusi untuk Sidang Kemuncak ASEAN tahun ini dalam mengemudi Gerakan Kesederhanaan Global.

“Filipina bersama dengan ASEAN dalam komitmennya untuk memupuk budaya keamanan, toleransi, saling menghormati dan semangat inklusif,” katanya.

Ditubuhkan pada 1967, ASEAN dianggotai 10 negara iaitu Brunei Darussalam, Filipina, Indonesia, Kemboja, Laos, Malaysia, Myanmar, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Mengenai ASEAN dan hubungan luarnya, Rosario berkata Filipina percaya sudah tiba masanya ASEAN menerima masuk Timor Leste sebagai negara anggota ke-11 dan menimbangkan kerjasama dengan rakan negara lain yang boleh membantu dalam usaha pembinaan komuniti.

Beliau turut mencadangkan supaya ASEAN menimbangkan secara serius untuk menarik  balik sekatan terhadap keanggotaan Sidang Kemuncak Asia Timur (AES). — Bernama