Jame Alip terselamat dalam kemalangan

0

SELAMAT: Kereta Jame terbabas ke dalam parit selepas kemalangan di hadapan Restoran Pitas, Jalan Taka, di Kota Marudu kelmarin.

KOTA MARUDU: Meskipun terlibat dalam satu kemalangan jalan raya, Pengarah Pendidikan Negeri Sabah Datuk Jame Alip tidak menjadikannya halangan dan tetap meneruskan tugas yang telah diamanahkan.

Difahamkan kemalangan pada jam 8.50 pagi di Jalan Taka itu berlaku ketika Jame dalam perjalanan dari arah Kota Kinabalu menghala ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pitas 2 untuk merasmikan Majlis Graduasi Tingkatan Enam dan Anugerah Pelajar Cemerlang yang telah diamanahkan oleh Timbalan Menteri Pendidikan 1 Datuk Mary Yap Kain Ching.

Beliau berkata, kemalangan itu tidak menghalangnya daripada meneruskan perjalanan ke sekolah berkenaan kerana beliau lebih mengutamakan tugas dan amanah yang telah diberikan.

“Walaupun saya menghadapi kemalangan tetapi tidak mengalami apa-apa kecederaan dan saya perlu menunaikan amanah dan tanggungjawab yang diberikan oleh Datuk Mary.

“Walaupun ada yang menasihati saya untuk balik dan meminta orang lain menjadi wakil namun kemalangan ini bukan penghalang untuk saya menunaikan tanggungjawab yang diberikan.

“Saya risau ibu bapa dan murid-murid serta guru-guru akan menunggu dengan lebih lama di sekolah berkenaan, saya tidak seharusnya menghampakan mereka dengan perkara kecil seperti ini,” katanya.

Beliau berkata selepas majlis graduasi berkenaan selesai, beliau juga sempat mengunjungi keluarga salah seorang guru yang mengalami kemalangan jalan raya pada malam sebelumnya.

“Saya bersyukur kerana sempat menemui isteri serta anak-anak arwah dan sempat solat jenazah di masjid sebelum dikebumikan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Marudu Superintendan Mohd Isa Yusof berkata kemalangan berlaku di hadapan Restoran Pitas apabila sebuah kereta pacuan empat roda (4X4) jenis Toyota Hilux secara tiba-tiba keluar dari sebuah simpang sebelum pertembungan berlaku.

“Kereta Toyota Land Cruiser berkenaan tidak sempat mengelak lalu melanggar kereta Toyota Hilux sebelum terbabas ke dalam parit,” katanya.

Beliau berkata tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Penganagkutan Jalan 1987.