Jauhi sikap melampau: Lee

0

Tidak mahu situasi sama berlaku di S’wak disebabkan belia kita terpengaruh serta terbawa-bawa sikap itu

Oleh Steve Annuar //

MIRI: Belia negeri ini diminta menjauhi sikap melampau yang semakin menular di Semenanjung Malaysia sehingga mencetus ketegangan kaum dan agama.

Menteri Muda Perhubungan Datuk Lee Kim Shin tidak mahu situasi sama berlaku Sarawak disebabkan golongan belia kita terpengaruh dan terbawa-bawa dengan sikap dari luar.

“Jangan sesekali mengikut budaya di Semenanjung Malaysia. Kita di Sarawak tidak berdepan masalah agama atau bangsa.

“Kita semua tidak kira kaum boleh bercampur dan bergaul mesra,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Makan Malam Pertubuhan Belia Dayak Sarawak (PEBEDAS) Miri di restoran Boulevard SABERKAS malam kelmarin.

Lee yang juga Menteri Muda Sukan berkata, perpaduan dan persefahaman yang telah lama dipraktikkan oleh rakyat pelbagai kaum di negeri ini harus dicontohi rakyat di Semenanjung Malaysia.

Amalan menghormati budaya dan agama kaum lain adalah kekuatan rakyat Sarawak untuk hidup harmoni dan bersatu.

“Sehubungan itu, belia kita diminta memelihara dan mempertahankan keharmonian kaum yang ada sekarang.

“Jangan sesekali terpengaruh dengan sikap ektremis dari luar. Golongan pelampau ini sama sekali tidak diterima di Sarawak,” tegas Lee.

Pada majlis itu, Lee menyumbang geran RM5,000 sebagai dana permulaan untuk PEBEDAS menjelaskan bayaran sewa premis yang bakal dijadikan pusat aktiviti sementara mereka.

PEBEDAS mencadangkan agar sebuah pusat dikenali Pusat Belia Dayak Miri ditubuhkan di sini sebagai pusat aktiviti, latihan dan maklumat untuk manfaat golongan berkenaan.

Penganjuran majlis kelmarin adalah untuk mengutip dana menjayakan projek penubuhan pusat itu.

Presiden PEBEDAS Danial Batin berkata, antara objektif utama penubuhan PEBEDAS ialah untuk menyatupadukan golongan belia yang akan menjadi kekuatan kepada mereka dalam menempuh cabaran hidup moden sekarang.

“Penyatuan dan perpaduan penting kepada belia Dayak untuk mengharungi apa jua cabaran. Peranan belia penting kerana mereka bakal mewarisi kepimpinan dan pembangunan negara,” jelas Danial.

Sejak tiga tahun ditubuh, PEBEDAS menumpu kepada penganjuran aktiviti pembangunan belia dan sukan.

Antaranya, mengutip derma untuk Tabung Perwira Dayak yang berjuang ketika krisis pencerobohan Lahad Datu, Sabah.

Hadir sama ialah Pengerusi PEBEDAS Miri Yohanis Aching serta wakil-wakil daripada lapan cawangan PEDEDAS Kuching, Sri Aman, Sarikei, Sibu, Kapit, Mukah, Bintulu dan Limbang.