Kemajuan bola lisut pada tahap membimbangkan, kata Ishak

0

KUCHING: Kemajuan bola lisut terutama melibatkan Majlis Sekolah-Sekolah Sukan Sarawak (MSSS) Peringkat Bawah 18 Tahun (U18) kini mencapai tahap membimbangkan.

Presiden Persatuan Sofbol Sarawak (SSA), Ishak Chin Abdullah berkata pemotongan dana sebanyak 50 peratus untuk pembangunan sekolah sukan pada tahun ini oleh Kementerian Pendidikan menjadi salah satu faktor terjejas kemajuan arena sukan itu.

Katanya, bilangan pasukan mengesahkan penyertaan aktif menyertai Kejohanan Sofbol MSSS di Miri bermula 27 April (hari ini) hingga 29 April (Rabu) disifatkan berkurang malah penyertaan tidak mencukupi serta kondusif bagi pembangunan atlet sukan bola lisut.

“Terdapat hanya ada satu pasukan disahkan menyertai kejohanan lelaki bawah 18 tahun dan Miri mencatat kejuaraan memandangkan mereka satu-satunya pasukan yang mendaftar.

“Manakala bagi kategori wanita bawah 18 tahun pula hanya empat pasukan menyertainya iaitu Miri, Sibu, Mukah dan Kuching.

“Selain itu, terdapat hanya dua pasukan masing-masing dalam kategori lelaki dan wanita U12 iaitu Miri dan Bintulu,” katanya di sini semalam.

Ishak berkata, Miri merupakan bandar raya mempunyai pembangunan bola lisut yang baik di negeri ini kerana SSA terletak di Miri selain mempunyai jurulatih, pengadil, penjaring dan atlet yang berwibawa dan kemudian Kuching sebagai bandar kedua aktif dengan pembangunan sukan bola lisut.

“Oleh kerana Miri dipilih tuan rumah bagi Kejohanan Sofbol MSSS tahun ini, jurulatih SSA, jurulatih Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) dan jurulatih sekolah bertungkus- lumus bekerja memberi latihan kepada 60 pemain lelaki dan wanita bagi membentuk dua pasukan lelaki dan wanita pada pertandingan ini kerana ia adalah kaedah cekap kos lebih membangunkan seramai mungkin.

“Tetapi, entah bagaimana perkara ini ditolak oleh Jabatan Pelajaran Sarawak (JPNS) dan pegawai Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) di atas sebab teknikal.

“Bayangkan melatih seramai 45 atlet terpaksa memakan masa satu bulan dan makluman tidak ada pertandingan kategori lelaki U18 manakala pembentukan pasukan A dan B dikurangkan menjadi satu pasukan,” jelas Ishak.

Menurutnya, sukan bola lisut ini mula mendapat perhatian pada 2011 sebelum dikatakan memuncak pada 2013 dan 2014.

“Walaupun pasukan wanita kita berjaya menduduki tempat ketiga Kejohanan Terbuka Malaysia tahun lalu dan mereka giat berusaha mencapai kemajuan lebih tinggi, ia masih tidak dapat menjadi kayu pengukur dan penentu untuk menghentikan pembangunan bagi kategori lelaki.

“Satu-satunya cara ke hadapan adalah meneruskan pembangunan dan peningkatan bagi kedua-dua kategori untuk masa depan.

“Melihat pada tahap pasukan, kami mungkin akan dinilai oleh pihak berkuasa sebagai persatuan sukan yang tidak menunjukkan kemajuan dan layak diletakkan di Kategori C, tetapi sekiranya melihat sudut positif dan lebih cerah, rakyat Sarawak harus berbangga dan gembira kerana usaha kolektif daripada guru, jurulatih, MSSS, MSNS, SSA dan JPNS sebelum ini berjaya menghasilkan dua atlet negara iaitu Watson Payrie dan Haifa Chin,” katanya.

Kedua-dua mereka akan mewakili negara pada Sukan SEA pada bulan Jun ini di Singapura.

“Satu lagi berita yang mengecewakan kita dengar adalah JPNS tidak mempunyai peruntukan untuk sukan bola lisut Kejohanan MSSM akan datang pada Jun ini di Semenanjung Malaysia.

“Apa juga halangan, kita akan cuba yang terbaik untuk merayu kepada JPNS untuk kita membangun sebuah pasukan mewakili negeri mengambil bahagian pada kejohanan itu kerana ia adalah antara satusatunya jalan untuk kita terus mengorak langkah dalam sukan ini,” katanya.