Kemudahan sukan lebih baik di Satok

0

Naik taraf Kompleks Sukan Komuniti Satok akan dilaksana tidak lama lagi

Oleh Nick Fletcher //

KUCHING: Penduduk di kawasan Satok, dekat sini bakal mempunyai kemudahan sukan yang lebih baik menerusi naik taraf Kompleks Sukan Komuniti Satok yang akan dilaksanakan tidak lama lagi.

Menteri Perumahan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata peruntukan sebanyak RM500,000 telah diluluskan di mana naik taraf akan dilakukan dengan pemasangan bumbung pada gelanggang kompleks tersebut.

Katanya peruntukan tersebut adalah daripada beliau sendiri dan Menteri Kerja Raya merangkap Ahli Parlimen Petra Jaya Datuk Seri Fadillah Yusof.

“Dengan adanya gelanggang berbumbung, ia boleh digunakan untuk sukan rakyat dan ini dapat membawa masyarakat di seluruh Satok untuk mengadakan sukan rakyat,” katanya pada Program Membara ‘Semarak Kejiranan’ Karnival Mini Sukan Rakyat di Dewan Datu Merpati Jepang di sini, semalam.

Selain gelanggang berbumbung, Abang Johari yang juga ADUN Satok berkata kompleks sukan tersebut akan turut dilengkapi dengan taman kanak-kanak.

“Pada setiap petang atau hujung minggu, ibu bapa boleh membawa anak-anak mereka bermain di sana dan ini akan merapatkan lagi silaturahim dalam keluarga,” katanya.

Beliau menambah, peralatan senaman atau gim juga akan disediakan di kompleks itu.

“Ini adalah kemudahan untuk semua warga di Satok… mudah-mudahan ia dapat memberi manfaat kepada semua,” katanya.

Sementara itu, Program Membara ‘Semarak Kejiranan’ Karnival Mini Sukan Rakyat telah berlangsung meriah dengan disertai masyarakat daripada semua peringkat usia.

Antara aktiviti sukan rakyat yang diadakan ialah pertandingan congkak, batu seremban dan sepak takraw.