Kerajaan komited perluas penggunaan bahasa Iban

0

Penggunaannya dalam pertuturan kian meningkat, antara medium satukan masyarakat: Jabu

Oleh Sudan Ajang //

MIRI: Penggunaan bahasa Iban dalam pertuturan seharian di negeri ini kian meningkat sekali gus menjadikan ia sebagai salah satu medium penting menyatukan masyarakat berbilang kaum di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang berkata, hampir semua kaum di negeri ini fasih bertutur dan memahami bahasa Iban dengan baik.

“Bahasa Iban kini memain peranan penting sebagai medium perpaduan masyarakat berbilang kaum.

“Ia adalah bahasa komunikasi meluas penggunaannya oleh penduduk pelbagai kaum bukan hanya di Sarawak malah penduduk luar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya yang diwakili Menteri Muda Kebajikan Sarawak Robert Lawson Chuat pada Majlis Penangguhan Kursus Peningkatan Profesionalisme Guru (KPPG) Bahasa Iban Ambilan 2015 di sebuah hotel di sini, malam kelmarin.

Jabu menegaskan, kerajaan akan terus komited memelihara dan mengembangkan bahasa ini ke peringkat lebih tinggi.

Terdahulu, Robert dalam ucapannya berkata bahasa Iban sudah diguna sebagai bahasa lingua franca sejak zaman pemerintahan Rajah Brooke.

“Pada zaman itu sudah ada buku Iban ditulis sekali gus membuktikan bahasa Iban sudah lama memainkan peranan penting.

“Justeru usaha mengembangkan bahasa ini perlu diteruskan pada masa depan,” katanya.

Sehubungan itu, katanya kursus peningkatan bahasa Iban dalam kalangan guru  amat wajar diteruskan dalam meningkatkan kemahiran bertutur serta mengajar mata pelajaran itu secara profesional.

“Kursus ini dapat memberi impak besar kepada guru  kita untuk mengembang penggunaan bahasa ini dalam pelbagai bidang seperti penyelidikan serta penerbitan buku,” katanya.

Sementara itu, seramai 28 peserta menyertai KPPG di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Sarawak.

Robert pada majlis itu turut mengumumkan peruntukan RM10,000 bagi membiayai kursus seumpama itu pada masa akan datang.

Hadir sama Residen Miri Antonio Kahti Galis dan Timbalan Pengarah IPG Kampus Sarawak, Gumbang Pura.