KPDNKK Sarawak periksa 58,892 premis

0

KUCHING: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Sarawak telah menjalankan pemeriksaan ke atas 58,892 premis setakat Sabtu lalu di seluruh Sarawak sejak Ops Catut dilaksanakan pada 15 Januari lalu.

Menurut kenyataan akhbar dikeluarkan semalam, sebanyak 286 kes direkodkan dalam tempoh Ops Catut tersebut.

Jumlah notis dikeluarkan adalah 36, dengan nilai rampasan sebanyak RM56,566.37 dan nilai kompaun RM28,200.

Setakat Sabtu lalu, KPDNKK Sarawak telah menerima 227 aduan di mana 138 daripada jumlah itu adalah mengenai GST, 77 aduan (harga) dan 12 aduan (lain-lain).

Ops Catut dikuatkuasakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011, Akta Timbang dan Sukat 1972, Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan Akta Perihal Dagangan 2011.

Sabit kesalahan, individu boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali dan bagi korporat atau perbadanan, tidak melebihi RM250,000.

Sebarang aduan boleh disalurkan menerusi e-mel, [email protected] atau hubungi talian bebas tol 1-800-886-800 atau kunjungi mana-mana pejabat KPDNKK berdekatan.