Lesen kontraktor gred G1 dibuka mulai Mei

0

KUCHING: Graduan atau individu memiliki kemahiran dan kepakaran khusus dalam sektor pembinaan berpeluang mendaftar lesen kontraktor gred G1 (Mahir) yang akan dibuka mulai Mei depan.

Berita itu diumumkan oleh Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof semasa Majlis Makan Malam Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Sarawak sempena Mesyuarat Agung Ke-16 di sini, malam kelmarin.

Menurutnya, keputusan pengeluaran lesen baharu itu dicapai pada mesyuarat kabinet lalu dengan mensyaratkan pemohon perlulah memiliki pengalaman dalam kerja pembinaan dan syarikat berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

Pada masa sama, jelasnya, pemohon perlulah memiliki kelulusan daripada institusi pengajian tinggi awam atau swasta (IPTA/IPTS) serta Institut Latihan Perindustrian (ILP).

“Ini bermakna kontraktor gred G1 (Mahir) ini perlu memiliki sijil kecekapan dalam bidang-bidang  pengkhususan.

“Syarikat perlu mahir dalam penyimenan, perpaipan atau kerja-kerja elektrik dan mempunyai modal permulaan minimum RM10,000,” katanya sambil menambah pemohon bagi lesen itu perlulah berumur 21 hingga 40 tahun.

Menurut Fadillah, pendaftaran bagi lesen berkenaan turut membuktikan kerajaan memberi peluang kepada graduan daripada institusi kemahiran untuk bekerja sendiri atau menjadi pengusaha dalam sektor pembinaan.

Mengulas lanjut, antara sebab pengenalan lesen itu adalah untuk memastikan jaminan serta kualiti terhadap mutu produk atau kerja kepada pelanggan.

“Kontraktor gred G1 (Mahir) ini pastinya akan dapat menjamin dari segi mutu kerja lebih baik, melindungi pemilik rumah atau bangunan kerana mereka berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dan mempunyai kepakaran khusus.

“Bagaimanapun, mereka yang mempunyai G1 biasa masih ada dan mereka boleh memilih untuk menaik taraf jika mereka mahu,” jelasnya.

Sementara itu, Presiden PKMM Datuk Mokhtar Samad ketika ditemui pemberita mengalu-alukan pengumuman itu kerana ia membuka pintu kepada kontraktor generasi baharu yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran pembinaan masa kini.

“Ia juga merupakan satu langkah bijak untuk menghasilkan kontraktor yang lebih berkualiti dan apa yang penting ialah piawaian industri pasti akan dapat ditingkatkan.

“Saya juga berharap kontraktor gred G1 sedia ada turut merebut peluang untuk menambah kemahiran masing-masing dan terbuka mengenai gred baharu itu kerana untuk maju mereka perlulah menerima persaingan,” katanya

Terdahulu pada majlis itu, Fadillah berkata pelaburan langsung asing Malaysia menunjukkan peningkatan dengan Malaysia di tempat kedua di dunia untuk kemudahan menjalankan perniagaan.

Jelasnya, Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) berada pada tangga kedua selepas Wilayah Pembangunan Iskandar di Johor di negara ini secara tidak langsung membuka peluang kepada kontraktor Bumiputera untuk merebut peluang yang ada.

Turut hadir pada majlis tersebut Yang Dipertua PKMMS Ismail Suut.