Letupan: Belum ada keputusan baik pulih flat rosak

0

KUCHING: Belum ada keputusan untuk membaik pulih atau tidak bangunan flat kediaman di Sibu Jaya yang rosak akibat insiden letupan pada 11 April lalu.

Menurut Menteri Perumahan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg, keputusan khususnya membaik pulih bangunan tersebut tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa di mana ia harus disahkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Saya belum lagi menerima laporan daripada JKR, sebab itu kami belum lagi dapat membuat keputusan apa yang akan dilaksanakan di flat tersebut kerana ia mesti mempunyai struktur yang membolehkan ia dibangunkan semula dan harus disahkan oleh JKR,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemu bual selepas menyempurnakan Program Membara ‘Semarak Kejiranan’ Karnival Mini Sukan Rakyat di Dewan Datu Merpati Jepang di sini, semalam.

Sehubungan itu, Abang Johari berkata beliau telah meminta JKR melakukan siasatan khususnya dari segi struktur bangunan flat berkenaan kerana ia melibatkan kerosakan yang teruk melibatkan tiga unit kediaman.

“Kalau kita membaik pulih tetapi dari sudut kejuruteraannya tidak begitu meyakinkan, nanti kita akan berhadapan masalah.

“Sebab itu saya tidak mahu tergesa-gesa kerana ia adalah bangunan flat di mana tiga unit telah musnah dan kita tidak tahu sama ada unit lain terjejas atau tidak.

“Maka, kita kena tunggu keputusan JKR,” katanya.

Dalam pada itu, Abang Johari berkata setakat ini sebanyak 34 keluarga telah dipindahkan dari flat tersebut dengan yang lain tinggal bersama keluarga masing-masing.

Letupan yang berlaku di bangunan flat kediaman Blok E di Sibu Jaya pada 11 April lalu didapati berpunca daripada kebocoran gas.

Insiden juga telah mengakibatkan seorang mangsa yang mengalami kelecuran 52 peratus meninggal dunia pada Isnin lepas.