Pendidikan pelaburan beri manfaat jangka panjang

0

TERIMA KASIH: Mohammad (kanan) menyampaikan cenderamata kepada Wan Abdul Aziz (kiri) pada Seminar Khas Kewangan 2015 Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) MSAM 2015 semalam.

Seminar Khas Kewangan membimbing masyarakat nikmati kehidupan yang lebih baik

Oleh Florence Nervyn //

SIBU: Usaha Permodalan Nasional Berhad (PNB) secara besar-besaran mendidik masyarakat menjadi pelabur bijak dan mampu merancang kewangan dengan bijak menerusi program seminar dan Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) adalah satu pelaburan manfaat jangka panjang.

Ahli Lembaga Pengarah PNB Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah berkata penganjuran Seminar Khas Kewangan memberi tumpuan kepada kaedah perancangan kewangan menyeluruh, sedikit sebanyak mampu membimbing masyarakat menikmati kehidupan yang lebih baik.

“Malah, selaras dengan usaha kerajaan membawa negara ke arah negara maju dan rakyat berpendapatan tinggi menjelang 2020, masyarakat sewajarnya dipersiapkan dengan ilmu pengetahuan bagaimana menggunakan pendapatan yang ada untuk manfaat diri dan keluarga,” katanya pada Seminar Khas Kewangan 2015 Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) MSAM 2015 di sini, semalam.

Wan Abdul Aziz memuji peserta seminar yang terdiri daripada pelabur setia PNB kerana bijak memilih instrumen pelaburan yang memenuhi kewangan masing-masing dan kesejahteraan masa depan mereka serta menyifatkan penyertaan dalam usaha menggembleng modal memberi kesan besar kepada masyarakat dan negara.

“Ia merancakkan pertumbuhan ekonomi menerusi penggemblengan pelaburan masyarakat ke dalam syarikat-syarikat sekali gus menggalakkan pertumbuhan peluang-peluang pekerjaan.

“Pada masa yang sama, masyarakat khususnya individu pelabur meraih manfaat peningkatan ekonomi keluarga menerusi pelaburan dan agihan pendapatan diperolehi setiap tahun,” jelasnya.

Pelancaran skim pertama ASNB, ASN pada 1981 ketika itu membuka mata dan minda orang ramai khususnya masyarakat Bumiputera tentang pelaburan unit amanah dan kemunculan ASN menjadi satu fenomena baharu dalam dunia pelaburan.

“Rakyat dapat menerima ilham kerajaan dan lebih penting orang ramai meraih manfaat besar daripada usaha tersebut.

“Syukur sehingga ke hari ini masyarakat terus memanfaatkan dana unit amanah ini untuk kesejahteraan masing-masing,” katanya.

Wan Abdul Aziz berkata, secara realitinya ada yang merancang kewangan pendidikan anak-anak, memulakan perniagaan, tabungan kesihatan dan persediaan persaraan dan hari tua.

“Bercakap mengenai perancangan persaraan, saya berkongsi satu kajian sebuah bank bahawa 66 peratus rakyat Malaysia tidak yakin dengan pelan persaraan mereka, sementara itu hanya 22 peratus sahaja rakyat Malaysia mempunyai pelan persaraan.

“Satu lagi kajian di internet oleh Nielsen mendapati 44 peratus rakyat Malaysia tidak pasti dengan pelan persaraan mereka dan lebih satu pertiga daripada rakyat Malaysia masih belum bersedia dari segi kewangan untuk bersara.

“Kenapa ini berlaku? Salah satu puncanya kerana tiadanya ilmu dan tiada kemahiran atau sahaja tidak mengambil endah tentang perancangan masa depan,” ujarnya.

Wan Abdul Aziz berkata masyarakat harus sedar, pelaburan dalam skim menawarkan pulangan kecil, risiko kerugiannya juga kecil sebaliknya pulangan dijanjikan besar maka risikonya bakal ditanggung juga besar.

“Walaupun pelbagai program dianjurkan pelbagai pihak termasuk PNB, namun orang ramai masih termakan janji-janji mendapat habuan besar dan pulangan berganda seperti di dalam akhbar-akhbar, kita lihat macam-macam isu penipuan skim pelaburan, skim cepat kaya dan pelbagai skim bertujuan mengaut keuntungan daripada orang ramai.

“Justeru, penganjuran seminar ini amat bermakna kerana menyediakan landasan kepada orang ramai mempelajari asas-asas pelaburan dan perancangan kewangan yang dapat membantu mereka membuat penilaian sebelum membuat sebarang keputusan melabur,” kata beliau.

Hadir sama Pengarah Eksekutif ASNB Mohammad Hussin dan Timbalan Presiden Korporat dan Pembangunan Modal Insan Permodalan Nasional Berhad (PNB) Datin Paduka Jamiah Abdul Hamid.