Penganjur Himpunan May Day digesa cari alternatif lain

0

CARI ALTERNATIF: Yahya (tengah) menyampaikan ucapan sempena perasmian Persidangan UMNO Kampung Ulu Seberang Putatan, turut kelihatan Tasip (tiga kanan) dan Juriah (dua kiri).

Usah ganggu orang awam, guna akhbar dan media sosial

PUTATAN: Penganjur Himpunan May Day disaran menggunakan alternatif lain seperti akhbar dan sosial media bagi mengekspresikan bantahan mereka tanpa perlu mengadakan perhimpunan yang dikhuatiri mengganggu ketenteraman awam.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Panglima Yahya Hussin berkata, banyak saluran lain yang boleh diguna pakai dalam menzahirkan bantahan mereka kepada kerajaan.

“Mereka boleh memilih tempat lain yang lebih sesuai atau boleh mengekspresikan pandangan mereka melalui pelbagai kaedah seperti surat khabar mahupun media sosial.

“Setiap hari kita mendengar kritikan terhadap kerajaan mengenai pelbagai perkara termasuk Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan ia tidak menjadi masalah.

“Apa yang kita tidak mahu satu perkumpulan yang melibatkan ramai orang tetapi ia mengganggu orang lain hingga wujudkan suasana tidak selesa,” katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Bersih Cawangan Sabah yang bertekad untuk meneruskan penganjuran Himpunan May Day walaupun tidak mendapat kelulusan pihak berkuasa.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan UMNO cawangan Kampung Ulu Seberang, Putatan, di sini kelmarin.

Yahya, yang juga Ketua Pergerakan UMNO Putatan berkata, walaupun ini negara demokrasi yang mana rakyat bebas untuk mengutarakan pandangan mereka tetapi perlu diingat, negara ini juga ada peraturan yang harus dipatuhi.

Jika penganjur Himpunan May Day ingin mengadakan perhimpunan, ia tidak boleh dilakukan di kawasan yang tidak sesuai seperti di tempat orang berniaga kerana ia akan mengganggu orang awam.

Perhimpunan seperti itu juga tidak boleh diteruskan tanpa mendapat kelulusan pihak berkuasa seperti polis dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), jelasnya.

Jika penganjur mengikut peraturan, perhimpunan seperti itu memang boleh dilaksanakan tetapi tidak boleh dianjurkan di tempat yang akan mengganggu orang awam serta tidak menyebabkan kesesakan lalu lintas.

Ditanya mengenai tindakan DBKK yang tidak membenarkan penganjur menggunakan Padang Merdeka untuk menganjurkan perhimpunan, Yahya berkata, itu adalah hak pihak berkuasa untuk menentukan di mana mereka patut berkumpul.

Penganjur Himpunan May Day, iaitu Bersih Cawangan Sabah sebelum ini membuat kenyataan bahawa mereka akan meneruskan rancangan bantahan awam pada 1 Mei ini walaupun tiada kelulusan daripada pihak berkuasa.

Mayor Bandaraya Kota Kinabalu Datuk Abidin Madingkir dalam satu kenyatan sebelum ini dipetik berkata, penganjur sudah membuat tempahan untuk menggunakan Padang Merdeka daripada DBKK pada awal April namun, permohonan itu ditolak pada pertengahan April.

Penganjur beranggapan jawapan penolakan daripada DBKK itu terlalu lewat dan menyukarkan mereka mencari tempat baharu dalam masa yang singkat bagi penganjuran itu.

Perhimpunan May Day mendapat sokongan daripada 48 buah kumpulan masyarakat. Ia akan menghimpunkan 10,000 orang untuk berkumpul selama dua jam bermula pada jam 3 hingga 5 petang.

Himpunan itu bertujuan menggesa kerajaan menyelesaikan isu berkaitan kebanjiran pendatang asing tanpa izin terutama mereka yang diserap sebagai ‘warganegara’ di negeri ini.

Mengenai persidangan UMNO itu, Yahya dalam ucapannya berkata, UMNO cawangan itu akhirnya berjaya menubuhkan cabang Puteri setelah bertahun-tahun cabang pergerakan wanita dan pemuda ditubuhkan.

Katanya, akhirnya cabang pergerakan UMNO di cawangan berkenaan lengkap dan diharapkan tahun hadapan, cawangan itu dapat menghantar wakil dalam mesyuarat persidangan UMNO yang akan datang.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Putatan Juriah Palasin dan Timbalan Ketua cawangan UMNO Kampung Ulu Seberang wakil Ketua Anak Negeri Mohd Tasip Jali.