Uji Litar Antarabangsa Miri

0

CADANGAN: Lee (dua kiri) menerima kertas cadangan daripada Miri MiniGP disampaikan oleh Hakim sambil disaksikan ahli-ahli Kelab Rekreasi Two Wheelers Miri.

Kelab Rekreasi Two Wheelers Miri bercadang untuk mengadakan sukan Mini Grand Prix

Oleh Sudan Ajang //

MIRI: Kelab Rekreasi Two Wheelers Miri bercadang mengadakan sukan Mini Grand Prix sekali gus menjadikan bandar raya Miri pertama di negeri ini dan kedua di Malaysia selepas Kuala Lumpur.

Jurucakap kelab, Hakim Mutalib berkata Miri mempunyai litar gokart bertaraf antarabangsa yang sesuai untuk kegiatan sukan tersebut sekali gus menjurus penubuhan Kelab MiniGP Miri.

Beliau berkata, litar di Miri mempunyai kepanjangan 1.3 kilometer dan keluasan 10 meter menjadikan litar terpanjang di Malaysia satu-satunya litar di Malaysia Timur.

“Penubuhan Kelab MiniGP Miri bertujuan mempromosi sukan bermotor di Borneo.

Pada masa sama meningkatkan kemahiran memandu dan kesedaran keselamatan,” katanya.

Hakim berkata demikian semasa kunjungan hormat ke pejabat Menteri Muda Sukan dan Perhubungan, Datuk Lee Kim Shin di Pejabat Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Senadin, kelmarin.

Pertemuan itu bagi memberi taklimat kepada Lee mengenai sukan bermotor tersebut di samping mendapatkan sokongan memajukan sukan tersebut.

Setakat ini, mereka mengadakan klinik pemanduan MiniGP pada hujung minggu yang dikendalikan sendiri oleh Hakim, penunggang terlatih dan diiktiraf dalam sukan MiniGP.

Hakim pernah menghadiri sekolah memandu California Superbike di Amerika Syarikat selain menamatkan Sijil Tahap 4 di Sekolah Superbika California (CSS) di Pulau Philip, Australia.

“Kami bercadang untuk pelancaran rasmi Kelab MiniGP pada Mei ini dan mereka yang berminat mengenai kelab boleh menghubungi saya di talian 012- 2516 300,” katanya.

Sementara itu, Lee gembira dengan perkembangan sukan itu dan berharap cadangan penubuhan Kelab MiniGP dapat direalisasikan memartabatkan sukan bermotor di sini.