UPP sedia bantu BN rampas kembali kerusi DUN Dudong

0

SIBU: Parti Rakyat Bersatu (UPP) bersedia membantu Barisan Nasional (BN) merampas kembali kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Dudong pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Naib Presiden Kanan UPP Datuk Tiong Thai King berkata UPP amat diyakini memandangkan ia sebuah parti baharu dan sangat relevan masa kini untuk merampas kerusi DUN Dudong daripada pembangkang.

“Sebagai sebuah parti berwajah baharu dan mempunyai kekuatan tersendiri, UPP akan melakukan yang terbaik kepada rakyat di kawasan ini.

“Jangan bimbang, UPP adalah rakan BN. Kami amat yakin bahawa UPP diterima masuk menyertai komponen BN pada masa akan datang,” katanya pada Majlis Perasmian Pusat Khidmat UPP Sungai Naman di pekan Durin, di sini semalam.

Hadir sama Naib Presiden UPP merangkap Pengerusi UPP Cawangan Pelawan Kapitan Datuk Janet Lau, Setiausaha UPP Cawangan Dudong Oliver Kuo, Pengerusi Wanita UPP Cawangan Dudong Kapitan Connie Loh dan Pengerusi UPP Ranting Sungai Naman Kong Tze Ling.

Tiong yang juga pengerusi UPP Cawangan Dudong berkata UPP terus bersama BN membela rakyat di kawasan DUN Dudong.

“UPP melakukan yang terbaik dan apa-apa kekurangan dihadapi di Dudong akan kami atasi bersama demi keselesaan rakyat,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata dengan adanya Pusat Khidmat UPP di Sungai Naman khususnya Durin, akan memudahkan tanggungjawab parti berkhidmat kepada rakyat.

“Ini adalah permulaan baharu buat UPP di Durin. Kami menjamin UPP terus bergerak aktif melaksanakan tugas-tugas untuk rakyat dan berusaha merampas Dudong daripada pembangkang.

“Saya harap masyarakat setempat sekiranya menghadapi apa-apa masalah sila berkunjung ke pusat khidmat ini.

“UPP sedia membantu kerana kami benar-benar mengutamakan rakyat dan ikhlas berkhidmat,” tambahnya.

Sementara itu, Kong mengajak ahli-ahlinya serta rakyat di kawasan DUN Dudong menyokong sepenuhnya Tiong untuk dicalonkan pada PRN di DUN Dudong.

Katanya Tiong adalah calon berpotensi dan sudah dikenali ramai kerana sebelum ini adalah bekas Ahli Parlimen Lanang.

“Kami berharap Tiong dicalonkan mewakili UPP atas tiket BN di kerusi DUN Dudong. Kami tidak mahu calon lain selain beliau.

“Sudah empat penggal beliau menjadi wakil rakyat dan kami tahu khidmatnya sangat baik,” tambahnya.

UPP Ranting Sungai Naman kini mempunyai 300 ahli dan ia adalah di bawah UPP Cawangan Dudong.

Setakat ini, UPP Cawangan Dudong mempunyai hampir 4,000 ahli berdaftar.