UPP sediakan calon boleh menang pada PRN

0

Ia adalah arahan KM yang mahu UPP tampil dengan calon boleh menang tanpa tolak mana-mana kerusi

Oleh Nick Fletcher //

KUCHING: Parti Rakyat Bersatu (UPP) akan menyediakan calon boleh menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, kata Setiausaha Agung UPP George Lo.

Menurutnya, itu adalah arahan daripada Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem yang mahukan UPP tampil dengan calon boleh menang tanpa menolak mana-mana kerusi.

“Semuanya bergantung kepada Ketua Menteri… saya tidak fikir memilih calon boleh menang hanya retorik bagi beliau kerana adalah tidak masuk akal untuk memilih calon yang beliau tahu tidak akan menang dalam pilihan raya.

“Tiada guna jika mencalonkan seseorang hanya untuk pencalonan tanpa mengetahui kemampuan untuk memenangi kerusi.

“Disebabkan itu, parti perlu tampil dengan calon boleh menang dan Ketua Menteri kemudian membuat keputusan mengenainya,” katanya pada sidang media sempena Majlis Perasmian Pembukaan Pejabat UPP Cawangan Batu Lintang di Jalan Tun Jugah di sini, semalam yang disempurnakan Presiden UPP Dato Sri Wong Soon Koh.

Lo yang juga pengerusi UPP Cawangan Batu Lintang menambah, hakikat bahawa Ketua Menteri mengarahkan UPP bersedia bagi pilihan raya telah memberi mesej yang kuat kepada mereka.

“Kami perlu memberitahu beliau bahawa siapa yang kami yakin sebagai calon boleh menang daripada parti dan saya pasti parti lain juga demikian bagi memastikan Barisan Nasional (BN) memenangi sebanyak mungkin kerusi,” katanya.

Sementara itu, Wong yang turut hadir pada sidang media tersebut sekadar berkata UPP telah menerima arahan daripada Adenan untuk bersedia menghadapi pilihan raya nanti.

“Saya tidak mahu memetik beliau lebih daripada itu… kami tidak mahu meletakkan Ketua Menteri dalam keadaan yang janggal,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Wong yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Masyarakat menyeru ahli-ahli parti untuk sentiasa mendekati rakyat.

“Sama ada anda ahli biasa, pemegang jawatan atau pemimpin parti, kita adalah sama kerana parti tidak dapat berfungsi tanpa kita semua.

“Kita harus memberi perkhidmatan kepada rakyat dan kekal bersama mereka bagi menunjukkan bahawa kita akan sentiasa bekerja untuk mereka,” katanya.

Pejabat UPP Cawangan Batu Lintang terletak di Aras 2, Sublot 1, Blok 16, Lot 427 di Jalan Tun Jugah.

Ia dibuka pada setiap Isnin hingga Jumaat dari jam 8 pagi hingga 4.30 petang dan Sabtu dari jam 8 pagi hingga tengah hari.