ASEAN amat peribadi bagi saya, kata Najib

0

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan ASEAN sebagai sesuatu yang amat peribadi dan dekat di hati beliau kerana bapanya Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein adalah antara pemimpin pengasas kumpulan serantau itu.

“Ia amat peribadi bagi saya. Bapa saya, Tun Razak, adalah seorang daripada lima negarawan yang menandatangani Deklarasi Bangkok pada 1967.

“Ia adalah dokumen yang membawa kepada kewujudan ASEAN,” kata Najib semasa berucap merasmikan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-26 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, semalam.

Deklarasi itu telah ditandatangani oleh menteri-menteri luar Malaysia, Indonesia, Filipina, Singapura dan Thailand.

Tun Abdul Razak menandatanganinya bagi pihak Malaysia manakala Indonesia diwakili Adam Malik, Filipina oleh Narciso R.Ramos, Singapura oleh S. Rajaratnam dan Thailand diwakiki Thanat Khoman.

Mengimbau saat itu, Najib berkata walaupun berusia 15 tahun ketika itu, beliau menyedari pentingnya peristiwa itu yang akan mengubah cara negara-negara di rantau ini berurusan antara satu sama lain.

“Kata-kata deklarasi itu nyata dapat bertahan sekian lama,” kata beliau.

Perdana Menteri menganggap kata-kata yang terkandung di dalam deklarasi itu sebagai amat memberi inspirasi dan sesungguhnya benar sehingga kini, seperti mana ketika itu.

“Kita mesti memastikan, bagaimanapun, bahawa hubungan yang mengikat – dan idea hebat ASEAN – adalah realiti yang ketara, peribadi untuk semua warganegara kita juga,” kata beliau.

Ditubuhkan pada 1967, ASEAN terdiri daripada 10 buah negara iaitu  Malaysia, Brunei Darussalam, Filipina, Indonesia, Kemboja, Laos, Myanmar, Singapura, Thailand dan Vietnam. — Bernama