Bola Sepak: Mukah menepati ramalan julang Piala Pesta Kaul

0

MUKAH: Pasukan Mukah menepati ramalan apabila menjulang piala Kejohanan Bola Sepak Piala Kaul Edisi Kedua di Padang Mesra MDDM, di sini kelmarin.

Mukah menewaskan Balingian dalam aksi perlawanan akhir dengan jaringan 3-1 menyaksikan perlawanan hebat ditunjukkan oleh keduadua pasukan.

Babak pertama, Balingian membuka tirai jaringan menerusi tendangan penalti Samiun Matzaidi pada minit ke-12 selepas pemain pertahanan Mukah dibuang padang kerana menampan bola menggunakan tangan dalam kotak penalti.

Namun, ia tidak menjejaskan rentak permainan Mukah apabila tiga minit kemudian berjaya menyamakan kedudukan menerusi penyerang mereka, Collin Denis.

Sebelas minit berselang, Mukah sekali lagi berjaya membolosi gawang Balingian menerusi Leonard William yang mudah memperdayakan penjaga gol lawan.

Babak kedua menyaksikan kedua-dua pasukan saling membalas serangan, namun minit ke-67 Mukah berjaya menjaringkan gol menerusi Abdul Salam Saibi melalui tendangan sudut.

Selaku juara, Mukah membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 berserta piala pusingan dan medal.

Balingian yang terpaksa akur naib juara memenangi wang tunai RM5,000 berserta piala dan medal.

Tempat ketiga bersama iaitu Belawai dan Dalat masing- masing membawa pulang wang tunai RM2,000, piala dan medal.

Pemain Mukah, Abdul Muhaimin Ahmaad dinobatkan sebagai Pemain Terbaik perlawanan akhir di samping rakan pasukannya, Asrizal Ramli dianugerahkan penjaring terbanyak sepanjang kejohanan (6 gol) serta pasukan Dalat menerima anugerah ‘Fair Play’.