Kempen Mari Berbasikal Untuk Kesihatan meriah

0

Oleh Siti Aisyah Ramli //

ACARA SIMBOLIK: Roslan (dua kanan) membawa bendera Malaysia bagi menyempurnakan simbolik pelepasan peserta kayuhan Kempen Mari Berbasikal Untuk Kesihatan 2015, di Esplanade, Kuching baru-baru ini.

KEMPEN Mari Berbasikal Untuk Kesihatan yang merupakan anjuran tahunan Hotel Riverside Majestic dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) berlangsung meriah di Kuching, baru-baru ini.

Seramai 350 pengayuh basikal di seluruh bandar raya Kuching mengambil tempat di kawasan pelepasan berbasikal di Esplanade, Tebingan Kuching, di sini seawal jam 6.45 pagi lagi.

Kempen yang dianjur untuk tahun kelima itu menyasarkan penglibatan masyarakat setempat untuk mempromosi budaya hidup sihat.

Hotel Riverside Majestic dengan besar hati memaklumkan menerima penyertaan yang begitu menggalakkan daripada pengayuh serata Kuching termasuk pengayuh dari Kelab Polis Berbasikal (CCC).

Menerusi acara kayuhan ini juga , setiap peserta akan melalui sejauh 28 kilometer (km) bermula dari Esplanade, menerusi Jalan Pending, Jalan Demak, Jalan Bako, Jalan Tun Abdul Rahman serta kembali semula ke bandar melalui Jambatan Satok dan Jalan Satok sebelum menamatkan kayuhan di Esplanade semula.

Tidak ketinggalan menyertai acara kayuhan sihat itu ialah Ketua Polis Daerah Kuching ACP Roslan Bek Ahmad.

MENYERONOKKAN: Selain sebagai mempromosi budaya hidup sihat, acara kayuhan itu juga dapat mengumpul kenalan dalam satu aktiviti riadah yang menyeronokkan.