Miri berharap memiliki padang hoki

0

MIRI: Majlis Sukan Negeri (MSN) Miri masih berharap agar kerajaan negeri dapat merealisasikan harapan mereka memiliki padang hoki bagi melengkapkan keperluan dan kemudahan sukan di bahagian ini dan utara negeri ini.

Jurulatih hoki MSN Miri, Rudi Naziri berkata beliau masih berharap agar Menteri Muda Sukan, Datuk Lee Kim Shin membantu mereka merealisasikan impian tersebut bagi membolehkan latihan dan pertandingan membabitkan sukan itu dapat dianjurkan lebih lancar.

Beliau berkata, Miri amat memerlukan sebuah padang baik dan sesuai untuk sukan hoki bagi membolehkan latihan dijalankan dan secara langsung membangunkan sukan itu serta mengasah dan melahirkan bakat-bakat hoki.

“Kita mempunyai ramai pemain muda berbakat dan berpotensi dibangunkan sebagai pemain profesional. Bagaimanapun, kita tidak mempunyai padang yang direka khusus untuk sukan hoki di sini,” katanya sambil menambah selain Miri, bahagian lain seperti Bintulu, Mukah, Sibu, Serian dan Sri Aman juga memerlukan padang hoki.

Menurutnya, semakin ramai atlet muda berusia di antara 13 hingga 15 tahun berminat dengan sukan hoki sejak kebelakangan ini khususnya dari sekolah seperti Kolej Tun Datuk Tuanku Haji Bujang dan SMK St Columba Miri.

Rudi berkata, sekadar menghantar para atlet tersebut ke pertandingan peringkat bahagian dan peringkat negeri sahaja tidak memadai sebaliknya apa diperlukan mereka adalah latihan berterusan di padang bersesuaian juga boleh digunakan menganjurkan kejohanan.

“Jika mereka mempunyai latihan yang baik di padang baik, maka mereka juga boleh menjalani latihan dengan baik sekali gus meningkatkan keyakinan untuk bersaing,” tambahnya.

Mengenai ke johana n peringkat negeri yang disertai pasukan Miri di Kuching, Rudi berkata pasukannya melakukan yang terbaik walaupun tidak berjaya sampai ke peringkat separuh akhir seperti yang disasarkan.