MSAM 2015 di Sibu mencatat sejarah 319,000 pengunjung

0

SIBU: Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2015 anjuran Permodalan Nasional Berhad (PNB) melabuhkan tirainya semalam (Isnin) di Dataran Bandar Sibu di sini, dengan mencatatkan jumlah penyertaan seramai 319,000 pengunjung satu rekod baharu bagi program pendidikan pelaburan PNB yang dianjurkan sejak 2000.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB Tan Sri Datuk Seri Hamad Kama Piah Che Othman berkata, jumlah itu juga adalah tertinggi sejak 16 kali MSAM dianjurkan.

“Dengan pencapaian itu, lebih tiga juta pengunjung meraih manfaat MSAM yang dianjurkan sejak 15 tahun lalu di negeri-negeri yang kami jelajah seluruh negara,” katanya.

Penganjuran di Sibu adalah kedua selepas Kuching yang telah mencatat seramai 187,000 orang penyertaan pada 2010.

Jumlah penyertaan pengunjung di Sibu sekali gus mengatasi rekod jumlah pengunjung sebelum ini iaitu seramai 280,000 pada MSAM 2012 di Kota Kinabalu, Sabah.

MSAM 2015 disertai masyarakat pelbagai kaum dan peringkat umur dari Sibu, Mukah, Sarikei, Kapit serta bahagian-bahagian berhampiran menyertai pelbagai aktiviti yang dianjurkan.

“Sambutan hebat dan amat menggalakkan masyarakat Sibu dan sekitarnya sangatsangat dihargai.

“Saya difahamkan ada juga pengunjung dari luar Sibu yang datang ke sini menaiki kereta memakan masa tujuh jam.

“Kami amat berbesar hati dengan sokongan padu diberikan kepada PNB dan MSAM sejak hari pertama sehingga ditutup,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Secara purata, MSAM menarik penyertaan seramai 35,000 orang setiap hari selama sembilan hari diadakan.

“Saya merakamkan setinggi- tinggi terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem yang hadir pada majlis perasmian pada 20 April lalu.

“Terima kasih juga kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri dan Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Pembangunan Usahawan Bumiputera) Datuk Mohd Naroden Majais dan Menteri Muda Perumahan dan Pembangunan Belia Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah yang turut sama menjayakan MSAM kali ini,” tambahnya.

Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Pejabat Ketua Menteri, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Pejabat Residen Sibu, Mukah, Sarikei dan Kapit, Majlis Perbandaran Sibu dan seluruh agensi dan jabatan persekutuan dan negeri termasuk syarikat Kumpulan PNB yang bertindak sebagai Rakan Korporat MSAM.

Beliau turut berterima kasih kepada semua peserta pameran, media termasuk RTM dan Jabatan Penerangan serta seluruh warga MSAM serta semua pihak terlibat secara langsung dan tidak langsung menjayakan MSAM kali ini.

“Untuk masyarakat Sibu dan bahagian-bahagian sekitarnya yang memungkinkan kejayaan rekod baharu ini, saya ucapkan berbanyakbanyak terima kasih.

“Harapan saya mereka beroleh manfaat dan ilmu tentang unit amanah, pelaburan dan perancangan kewangan di samping lebih mengenali PNB dan ASNB serta syarikatsyarikat pelaburan PNB,” kata beliau.