Operasi mencari, menyelamat Jimi Kipli diteruskan

0

PETUNJUK: Pasukan mencari dan menyelamat menjumpai barangan milik mangsa.

KOTA SAMARAHAN: Operasi mencari dan menyelamat wanita warga emas, Jimi Kipli dari Kampung Melayu diteruskan semalam dengan kawasan pencarian diperluaskan dan jumlah anggota penyelamat terlibat dalam operasi itu ditambah.

Timbalan Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak Farhan Sufyan Borhan berkata pihaknya menghantar pasukan pelbagai kemahiran (MUST) untuk terlibat dalam operasi berkenaan.

“Enam anggota MUST mencari dan menyelamat mangsa daripada pasukan khas terlibat dalam mencari dan menyelamat mangsa di dalam hutan,” katanya.

Tambahnya anggota itu terdiri daripada Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), polis dan penduduk kampung yang dibahagikan kepada 12 kumpulan.

Jelasnya lagi, kawasan mencari dan menyelamat diperluaskan kepada empat hingga lapan kilometer.

“Operasi memfokus lebih kepada kawasan sungai di mana barangan mangsa ditemui, merangkumi kasut, pakaian dan bakul mengandungi paku pakis, yang dijumpai pasukan mencari dan menyelamat semalam (Ahad),” katanya.

Jimi dilaporkan hilang oleh keluarganya petang Ahad lepas selepas keluar ke kebun berhampiran.

Sementara itu dalam kes berasingan seorang wanita di Kuching membuat laporan polis, mendakwa dia dan abangnya diugut sekumpulan lelaki dikenali pada malam Ahad lepas.

Menurut pengadu, lelakilelaki berkenaan datang ke rumah ibu bapa mereka di Stampin kira-kira jam 11 malam.

Kumpulan lelaki berkenaan turut mencederakan saudara lelaki pengadu dengan menumbuknya di bahagian muka.

Malah salah seorang suspek dikatakan membawa senjata tajam dipercayai parang dan mengancam saudara lelaki pengadu agar tidak mencampuri hal mereka.

Difahamkan insiden itu berlaku disebabkan salah faham antara mereka.

Kes itu masih dalam siasatan polis.

USAHA PENCARIAN DIPERGIAT: Operasi mencari dan menyelamat wanita warga emas, Jimi Kipli diteruskan dengan kawasan pencarian diperluas, jumlah anggota penyelamat ditambah.