Peraduan MSAM: Bekas pelajar kolej menangi Axia Advance

0

PEMENANG: Wan Abdul Aziz (enam kanan), Jamiah (empat kiri) bersama pemenang e-Peraduan Utama iaitu Melissa (lima kiri), Annie (enam kiri) dan Halim (lima kanan) di Sibu semalam.

SIBU: Penganjur Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2015 menyampaikan hadiah kepada tiga pemenang e-Peraduan Utama berupa Perodua Axia Advance, Kawasaki Ninja dan MacBook.

Hadiah disampaikan Ahli Lembaga Pengarah Permodalan Nasional Berhad (PNB) Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah yang turut diiringi Timbalan Presiden Korporat dan Pembangunan Modal Insan PNB Datin Paduka Jamiah Abdul Hamid.

Perodua Axia Advance dimenangi Melissa Teng, 20, yang baharu tamat pengajian E Level di Sunway College, Kuala Lumpur.

Melissa berkata, dia akan menyambung pengajiannya di Imperial College London, United Kingdom pada September akan datang.

“Kereta ini saya beri kepada keluarga saya untuk mereka gunakan,” katanya yang mengikuti setiap hari e-Peraduan sejak hari pertama MSAM dibuka pada 19 April lalu.

Sementara itu, hadiah kedua e-Peraduan Utama berupa Kawasaki Ninja dimenangi Annie Jimi, 56, yang merupakan suri rumah.

Annie amat teruja dan tidak menyangka memenangi hadiah motosikal daripada e-Peraduan tersebut.

“Saya berasa sangat gembira dan bangga dengan kemenangan ini. Hadiah ini saya berikan kepada anak-anak saya untuk digunakan mereka,” katanya.

Manakala hadiah ketiga berupa MacBook Air 13 dimenangi seorang penyelia kilang, Abdul Halim Suhaili, 42, yang datang bersama keluarganya pada majlis penyampaian hadiah kelmarin.

Abdul Halim berkata, hadiah itu diberikan kepada anak-anaknya sebagai medium tambahan untuk pembelajaran mereka.

Pelbagai aktiviti berteraskan pendidikan pelaburan dan hibur didik dianjurkan untuk semua lapisan masyarakat di sini.

Hadiah e-Peraduan Utama dimenangi Damsie Isa iaitu sebuah Ford Ranger 2.2L.

Hadiah-hadiah lain ialah sembilan motosikal Edisi Khas MSAM, 16 TV LED 50”, 24 TV LED 42”, 16 iPad Mini 3 dan 16 Samsung Galaxy Tab S dan pelbagai barangan elektrik.