Wujudkan Bazar Gawai: Alexander

0

Wujudkan di daerah kecil bagi promosi makanan, minuman kaum Dayak

Laporan oleh Saibi Gi, Jessica Jawing Agnes Tugong, Nick Fletcher, Rusnan Mustafa, Hamimi Kassim //

KUCHING: Alexander Vincent (BN-Ngemah) mencadangkan agar kerajaan negeri mewujudkan Bazar Gawai seperti yang diperuntukkan setiap kali bulan Ramadan sebelum Hari Raya Aidilfitri.

Beliau memberitahu, bazar itu perlu diwujudkan di kawasan daerah kecil yang terletak di luar bandar di negeri ini bagi mempromosikan makanan dan minuman masyarakat Dayak yang ada di negeri ini.

“Saya mencadangkan agar kerajaan negeri memperuntukkan Bazar Gawai di bandar kecil di pedalaman seperti di Kanowit dengan konsep yang sama dengan Bazar Ramadan.

“Bazar Gawai ini akan membolehkan masyarakat Dayak memperkenalkan masakan dan minuman tradisional mereka selain adat budaya, tarian dan lagu mereka,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, semalam.

Alexander berkata peserta bazar itu nanti bukan sahaja terdiri daripada kalangan masyarakat Dayak tetapi juga boleh disertai usahawan daripada kaum lain.

Malah, menurutnya, bazar itu juga mampu menarik pengunjung terutama pelancong asing datang ke negeri ini khususnya di daerah kecil Kanowit.

Pada masa sama beliau mencadangkan agar Bazar Gawai itu disediakan setiap kali sambutan Hari Gawai Dayak.

Sementara itu, Alexander juga berharap kerajaan menyediakan subsidi petrol kepada penduduk di rumah panjang yang tinggal di bahagian hulu Sungai Ngemah seperti Rumah Salang, Rantau, Lagau, Rumah Jimmy, Ng Lakah dan Rumah Magal, Lubuk Tanjung.

Jelasnya penyediaan subsidi itu bagi mengurangkan kos pengangkutan yang dihadapi penduduk di kawasan berkenaan yang terpaksa mengguna pengangkutan air sementara menunggu projek jalan raya siap sepenuhnya.

Selain itu, beliau turut mencadangkan agar kerajaan menyediakan bengkel kepada pelajar sekolah khasnya pelajar yang bakal menghadapi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di situ.

“Ini bagi membantu meningkatkan prestasi pencapaian pelajar di kawasan luar bandar dan pada masa sama meningkatkan standard pencapaian pelajar,” tambahnya.

Beliau turut berhasrat agar kerajaan menubuhkan sekolah khas di daerah Kanowit untuk pelajar istimewa di kawasan itu.