Dilarang sertai Himpunan May Day

0

DILARANG BERHIMPUN: Chandra (kanan) menunjukkan gambar senarai kawasan yang terlibat dalam Perintah Larangan Berhimpun.

KOTA KINABALU: Orang awam dan mana-mana individu yang berkaitan dinasihatkan supaya tidak menyertai atau mengambil bahagian dalam Himpunan May Day anjuran Bersih Sabah.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra berkata, himpunan berkenaan dijangka berlangsung pada 1 Mei ini di Padang Merdeka di sini bermula jam 3 hingga 5 petang.

Katanya, tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana individu yang terlibat dengan himpunan terbabit mengikut peruntukan undang-undang yang dikuatkuasakan.

Menurutnya, polis kelmarin menerima Perintah Larangan Berhimpun daripada Mahkamah Majistret Kota Kinabalu untuk melarang dari berada atau mengambil apa-apa bahagian dalam perhimpunan berkenaan.

“Perintah Larangan Berhimpun yang dikeluarkan itu melibatkan lima kawasan sekitar bandar raya iaitu Padang Merdeka, Taman Chong Thien Vun, City Park, Segama Waterfront, Dataran Bandaran dan kawasan sekitarnya.

“Pemberitahuan mengenai perintah terbabit akan disampaikan kepada individu yang disenaraikan dalam Perintah Larangan Berhimpun dan akan ditampal di lokasi-lokasi yang dinyatakan,” katanya pada sidang media di sini kelmarin.

Beliau berkata, Bersih Sabah sebelum ini ada menghantar notis pemberitahuan perhimpunan kepada pihaknya untuk mengadakan himpunan berkenaan.

Bagaimanapun katanya, pemberitahuan perhimpunan itu tidak dapat diproses memandangkan pihak penganjur tidak memperolehi persetujuan daripada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) sebagai pemilik kawasan berkenaan.

Chandra berkata, persetujuan untuk menggunakan tempat-tempat yang dinyatakan bagi mana-mana perhimpunan selaras dengan peruntukan Seksyen 11 Akta Perhimpunan Awam 2012.

“Hasil risikan yang dijalankan, polis mendapati penganjur tetap berhasrat untuk mengadakan perhimpunan berkenaan di tempat yang dinyatakan walau tidak mendapat kebenaran DBKK.

“Penganjuran himpunan ini dipercayai akan mendatangkan bahaya kepada nyawa manusia atau keselamatan orang ramai.

“Selain itu, ia juga boleh mengakibatkan berlakunya rusuhan atau pergaduhan serta kerosakan harta benda,” jelasnya.

Sehubungan itu, pihaknya akan menyampaikan notis Perintah Larangan Himpunan kepada 16 orang yang dipercayai bertindak sebagai penganjur.

Beliau berkata, risikan dan maklumat daripada penganjur menjangkakan seramai 10 ribu orang akan menyertai himpunan terbabit.