Adenan mahu usaha pembanterasan PATI di Sarawak dipergiat

0

KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem mahu usaha pembanterasan pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sarawak dilakukan dengan lebih giat dari peringkat akar umbi, sebelum ia bertambah teruk lagi.

Beliau berkata, perkara ini amat penting agar masalah kebanjiran PATI seperti berlaku di Sabah tidak terjadi di negeri ini.

“Kehadiran PATI boleh menimbulkan masalah sosial, keselamatan dan ekonomi.

“Sekiranya perkara ini dibiarkan, masalah tersebut boleh mendatangkan kesan lebih buruk terhadap aspek keselamatan dan kedaulatan negeri ini khasnya,” katanya semasa berucap pada sesi penggulungan Ketua Menteri pada Persidangan DUN di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Adenan menjelaskan insiden yang berlaku di Miri baru-baru ini melibatkan aktiviti nelayan haram telah menjejaskan pendapatan nelayan tempatan.

Katanya, meskipun beberapa aduan telah dilaporkan kepada pihak penguat kuasa yang bertanggungjawab namun tindakan yang diambil tidak memberi kesan sehingga beliau sendiri campur tangan bagi mengatasi masalah itu.

“Segelintir PATI berjaya diberkas atas kesalahan melacur, penyeludupan senjata api dan menubuhkan koloni setinggan di negeri ini.

“Tahap kesihatan mereka juga menjadi kebimbangan kita kerana tidak menjalani pemeriksaan yang sewajarnya yang masuk secara haram, kita khuatir kehadiran mereka membawa penyakit berjangkit terutama tuberculosis (TB) yang boleh menyebabkan risiko jangkitan kepada rakyat kita,” tegasnya.

Justeru Adenan mahu agensi penguatkuasaan lebih tegas serta sentiasa peka dengan kehadiran PATI di negeri ini.

Dalam pada itu, Adenan dalam ucapannya juga berkata, pengurusan dan perlindungan hutan akan terus dikuatkuasakan bagi memastikan hutan di Sarawak akan berkekalan untuk generasi akan datang.

“Kita akan berusaha mengurus, melindungi serta memelihara hutan kita, bukan kerana kita dijajah oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) asing dan pihak lain tetapi itu adalah perkara sebetulnya untuk dilakukan atas perasaan sayang kepada alam sekitar dan negeri ini,” ujarnya.

Selain itu tambahnya, aktiviti pembalakan haram mengakibatkan kesan buruk terhadap alam sekitar, pendapatan dan imej Sarawak di mata dunia.

Dalam usaha membanteras aktiviti pembalakan haram itu, pihak pembangkang sepatutnya menunjukkan sokongan terhadap inisiatif tersebut dan bukan memperkecilkannya, jelasnya.

“Dari segi pencapaian, sebanyak 46,215 meter padu kayu balak dengan nilai RM14 juta dan royalti RM3 juta berjaya dirampas pada 2014.

“Daripada 165 kilang papan di seluruh negeri, 123 daripadanya beroperasi dengan aktif sementara 42 lagi tidak beroperasi dan disyaki bergantung kepada pembalakan haram bagi menyokong operasi mereka,” katanya sambil menambah, kerajaan tidak lagi memberi kelulusan kepada kilang papan baharu di kawasan konsesi kayu.