Lelaki maut kena renjatan elektrik

0

Mangsa dipercayai cuba curi kabel, punca gangguan elektrik di Betong

Oleh Saleman Senin //

BAHANA RENJATAN ELEKTRIK: Lelaki maut dipercayai cuba curi kabel di stesen pencawang elektrik di Betong.

PANTAS: Anggota JPAM Betong dan pihak Hospital sedang berusaha untuk membawa mangsa ke hospital.

BETONG: Punca bekalan elektrik terputus selama sejam di kawasan Betong malam kelmarin terjawab apabila seorang lelaki ditemui dalam keadaan berlumuran darah dan mengerang kesakitan selepas terkena renjatan elektrik ketika dipercayai cuba mencuri kabel di pencawang stesen 275, Sarawak Energy Berhad(SEB) Betong, Rian Batang di sini.

Dalam kejadian itu, suspek berusia 36 tahun berasal daripada Bintulu mengalami kecederaan parah akibat renjatan elektrik dan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Betong.

Suspek ditemui dalam keadaan terbaring di pencawang berkenaan oleh kakitangan SEB Betong yang ketika itu mencari punca bekalan elektrik tiba-tiba terputus di kawasan Betong pada jam 7.20 malam kelmarin.

Jurucakap SEB Betong berkata, ketika tiba di pencawang tersebut, beliau melihat seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan dan terbaring sambil mengerang kesakitan manakala wajahnya berlumuran darah.

“Pada masa sama, terdapat kesan lubang pada pagar pencawang dipercayai akibat dipotong termasuk kesan tompokan darah di kawasan tersebut,” ujarnya.

Beliau terus menghubungi Ibu Pejabat Polis (IPD) Betong untuk mendapatkan bantuan.

Sejurus dimaklumkan mengenai kejadian itu, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Betong bersama anggota serta ambulans tiba di lokasi memberi bantuan sebelum membawa mangsa ke Hospital Betong.

Bagaimanapun, suspek disahkan meninggal dunia pada jam 10.10 malam kelmarin selepas usaha menyelamatnya gagal.

Ketua Polis Daerah (KPD) Betong Deputi Superintendan (DSP) Aidil Bolhassan yang dihubungi mengesahkan ada menerima laporan tersebut.

Siasatan awal juga mendapati, mangsa dipercayai memecah masuk dan merosakkan pagar dalam cubaan mencuri peralatan kabel termasuk tranformer di situ namun gagal selepas terkena renjatan elektrik.

Kejadian itu telah mengakibatkan bekalan elektrik terputus di kawasan Betong kira-kira sejam dari jam 7.20 malam dan pulih pada jam 8.20 malam.