MSAM berjaya tarik kunjungan orang ramai

0

Oleh Borhaniza Ali Basah //

RASMI: Muhyiddin (tiga kiri) melakukan simbolik perasmian dengan dibantu oleh Hamad (kanan) sambil diperhatikan oleh Adenan (dua kiri) dan Ahmad Sarji.

TIMBALAN Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin merasmikan Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2015 di Dataran Bandar Sibu, baru-baru ini.

Turut hadir bersama beliau pada majlis perasmian itu ialah Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB) Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid, Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB Datuk Seri Hamad Kama Piah.

Selepas acara perasmian, Muhyidin turut melawat kawasan program bersama-sama dif-dif kehormat.

MSAM yang dilancarkan sejak tahun 2000 telah berjaya menarik lebih 2.8 juta pengunjung dan telah memperoleh pengiktirafan ‘Longest Running Unit Trust Exhibition’ (14 tahun, iaitu sejak 2000 hingga 2014) daripada The Malaysia Book Of Records.

Tahun ini, 319,000 pengunjung dari negeri Sarawak telah mengambil bahagian dan menjayakan MSAM 2015 yang berlangsung sehingga 27 April lepas.

Tarikan utama MSAM 2015 ialah Laman ASNB di mana para pengunjung boleh melabur dalam pelbagai produk unit amanah ASNB seperti ASB, ASB2, ASN dan ASG serta produk-produk lain di kaunter yang disediakan serta boleh mendapatkan khidmat nasihat pelaburan daripada penasihat pelaburan ASNB yang bertauliah.

Pengunjung juga boleh mendapatkan maklumat mengenai produk perwarisan ASNB iaitu Hibah Amanah dan Pengisytiharan Amanah.

Cenderahati menarik juga turut disediakan kepada orang ramai yang datang ke MSAM tersebut.

UNIK: (Dari kiri) Ahmad Sarji, Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Muhyiddin, Adenan, Hamad, Menteri Kewangan Kedua Dato Sri Wong Soon Koh dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar bergambar bersama-sama pada satu sudut berkonsepkan alam pada pameran MSAM 2015, baru-baru ini.