KUCHING: Sarawak akan menjadi tuan rumah buat Kejohanan Golf Terbuka Amatur Malaysia (MAO) kali ke-113 dari 21 hingga 24 Mei ini.
Presiden Persatuan Golf Malaysia (PGM) Senator Tan Sri Datuk Setia Mohd Anwar Mohd Nor berkata pemilihan Sarawak sebagai tuan rumah buat kali kedua selepas 2009 akan lebih mencabar dan matang dengan situasi Kelab Golf Sarawak yang diyakini dapat memperkukuh serta mempromosikan standard sukan golf tidak hanya di Sarawak tetapi seluruh negara.
“Selepas Kelab Golf Diraja Perak dengan jayanya menjadi tuan rumah kejohanan itu tahun lepas, jawatankuasa PGM merasakan edisi ke-113 hanya sesuai diadakan di Kelab Golf Sarawak yang mencabar dan matang,” katanya pada sidang media di sini, semalam.
Terdahulu, beliau dan rombongan mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem di Pejabat Ketua Menteri di bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini.
Menurut Mohd Anwar, kejohanan itu mendapat pengiktirafan antarabangsa yang dibuktikan dengan meningkatnya jumlah peserta dari negara-negara Asia Pasifik.
“Pemain amatur terkemuka negara, Gavin Kyle Green memenangi gelaran pada 2012 dan ini kita percaya akan memberi inspirasi kepada pemain-pemain muda mengikut jejak Gavin tahun ini,” katanya.
Beliau memberitahu, tahun ini PGM dan negara-negara Asia Tenggara lain akan mengambil bahagian dalam Sukan SEA yang akan berlangsung pada Jun di Singapura.
Justeru, kejohanan tahun ini adalah persiapan kepada pemain negara menghadapi persaingan di Sukan SEA Singapura nanti.
“Kita mempertaruhkan Galven Kendall Green yang telah memenangi acara tiga acara berturut- turut tahun lalu di Cabaran TMS, Kejohanan Tertutup Amatur Malaysia dan Percubaan Kebangsaan,” katanya.
Selain itu, beberapa nama (pemain golf amatur) ternama negara akan turut beraksi iaitu Bryan teoh, Daeng Abdul Rahman dan Amir Nazrin Jailani.
Manakala bagi pemain amatur wanita negara yang akan mengambil bahagian dalam kejohanan kali ini ialah Nur Durriyah Damian, Loy Hee Ying dan Genevieve Ling.
“PGA berterima kasih kepada penaja utama kejohanan kali ini iaitu kerajaan negeri Sarawak, Pelancongan Malaysia, Jebsen & Jessen, 100plus dan lain-lain yang memberi sokongan,” katanya.
Hadir sama, Presiden Persatuan Golf Sarawak (PGS) Hoan Kee Hock Kapten (Bersara) Dr David Ling dan Datuk Zulkifli Ismail.