15 ‘badang Sarawak’ bertarung

0

Oleh Ghaz Ghazali //

Bagi rebut gelaran Ironman 2015 di Kampung Budaya Sarawak hari ini

RAMAI-RAMAI: Semua peserta berkumpul sesi bergambar sebelum bermulanya acara saringan.

SANTUBONG: Seramai 15 peserta ‘Badang Sarawak’ akan berjuang habis-habisan untuk merangkul gelaran Ironman 2015 di Kampung Budaya Sarawak (KBS) di sini hari ini.

Para finalis tahun ini merupakan kelompok terbaik daripada 40 peserta yang menjalani sesi pemilihan pada Isnin lalu.

Menurut Eksekutif KBS, Ibrahim Chong Abdullah cabaran ini merupakan antara tarikan utama acara ‘Pesta Menuai Sedunia’ (WHF) selain pementasan ‘Malam Pelancongan Gawai’ dan Ratu Cantik Etnik WHF setiap tahun.

“Ironman sudahpun memasuki edisi kelapan tahun ini dan kami, selaku penganjur amat gembira melihat beberapa wajah baharu peserta kali ini.

“Sepanjang lapan tahun ini, pertandingan ini berkembang positif dan kami melihat kualiti penyertaan semakin meningkat saban tahun,” katanya ditemui selepas pelancaran acara saringan disaksikan Pengarah Festival WHF, Zaini Zainuddin.

Ibrahim yang juga koordinator tetap pertandingan, berkata ahli-ahli jawatankuasa beliau sentiasa berusaha menampilkan acara-acara baharu lebih mencabar setiap kali berlangsungnya Cabaran Ironman.

“Ia tidak semudah disangka kerana walaupun nampak menghiburkan bagi penonton, setiap pemarkahan berdasarkan masa. Ini benar-benar menguji kekuatan peserta bukan sahaja dari segi fizikal malah mental. Tambahan, cabaran ini berlangsung selama tiga hari berturut-turut dan benar-benar mencabar keupayaan finalis.

“Bagi penganjur, kami sedaya-upaya memasukkan elemen-elemen budaya tempatan dalam kebanyakan acara seperti membelah balak, mengopek kelapa, menyumpit dan berlari sambil membawa karung padi yang setiap satunya seberat 50kg,” ujar beliau.

Penyandang juara tahun lalu, Amir Hanafi Ali dan ‘muka lama’ Jury Amrullah Ibrahim merupakan antara peserta pilihan bagi edisi kali ini dan penonton tidak putus-putus bersorak setiap kali mereka beraksi.

Jury yang pernah memenangi gelaran itu pada 2012 dan 2013 berkata, beliau tidak meletakkan harapan tinggi pada penyertaan kali ini.

“Tahun ini, saya melihat ramai pencabar baharu berpotensi mampu juara Ironman 2015. Namun, saya berusaha yang terbaik. Mungkin juga rezeki saya tahun ini – siapa tahu,” kata anak kelahiran Kuching berumur 41 tahun itu.

Bagi ‘bidan terjun’ ASP Ricky Poh, beliau sama sekali tidak menyangka terpilih di antara kelompok 15 finalis terbaik.

“Ini penyertaan sulung saya dan saya berhadapan dengan peserta senior dan muda-muda. Bagaimanapun, saya berjanji memberi saingan sengit merebut tempat pertama, kedua dan ketiga,” kata pegawai polis berumur 39 tahun itu berasal dari Kapit.

Finalis-finalis lain ialah Hazari Ali, Mohd Sulaiman Benjaman, Aminzani Zainuddin, Abang Mohamad Safrizar Abang Sahari, Nordin Seruji, Suhaili Mat, Reinto Jamal, Dino Alfa, Khairuddin Amir Hamzah, Majid Maidin, Zakaria Jeman dan Ahmad Waasik Idrus.

Juara Cabaran Ironman kali ini membawa pulang piala pusingan dan wang tunai berjumlah RM1,500 manakala naib juara dan tempat ketiga masing-masing menerima RM1,250 dan RM1,000.

Peserta menduduki tempat keempat hingga ke-15 masing- masing menerima sagu hati bernilai RM300.