‘Goodwill Star’ dilancarkan

0

Feri baharu rentasi laluan antara Labuan-Sabah-Brunei

LABUAN: Pengangkutan laut pergi-balik dari Labuan ke tanah besar Sabah, Sarawak dan Brunei terus ditambah baik dengan pelancaran perkhidmatan feri baharu semalam.

Perkhidmatan feri ‘Goodwill Star’ dilancarkan Ahli Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli, dengan disaksikan pegawai kerajaan, melakukan pelayaran sulungnya pada jam 9.30 pagi menuju ke Muara, Brunei, dan Menumbok, Labuan, pada jam 5.30 petang semalam.

Feri tambahan itu diusahakan Labuan Mainland Link Sdn Bhd, sebagai tambahan kepada enam feri iaitu Wawasan Perdana, Warisan Perdana, Kimanis 1, Putrajaya 1, Galaxy dan Shuttle Hope untuk melonjak lagi sektor ekonomi serta pelancongan Labuan.

Pengerusinya, Datuk Chin Hong Vui berkata feri itu akan mengadakan satu perjalanan setiap hari ke Menumbok dan Muara, Brunei dengan keupayaan membawa lebih 100 kenderaan dan kira-kira 500 penumpang setiap perjalanan.

Menerusi operasi enam feri, perkhidmatan pengangkutan laut antara pulau dan tanah besar diadakan 16 jam setiap hari mulai jam 6 pagi dari Labuan dengan perjalanan terakhir dari Menumbok pada 10 malam.

“Kami harap tidak ada pembelian panik dan penumpang bersesak-sesak membeli tiket seperti yang selalu berlaku semasa musim cuti hujung tahun,” katanya.

Tiga pengusaha dilantik Kementerian Pengangkutan untuk mengendalikan perkhidmatan feri, dengan Labuan Corporation Sdn Bhd (LFC) mengendalikan Wawasan Perdana dan Warisan Perdana; Labuan Mainland Link Sdn Bhd (Putra Jaya 1 dan Goodwill Star); dan Juta Bonus Sdn Bhd (Kimanis 1 dan Galaxy).

PKL Jaya Sdn Bhd (pengusaha berpangkalan di Brunei) mengendalikan operasi feri Shuttle Hope pergi-balik dari Brunei ke Labuan dengan keupayaan membawa antara 25 dan 40 kenderaan serta 200 penumpang pada satu-satu masa.

Syarikat berpangkalan di Labuan, Fast Service and Supply (FARZ SERVICES) pula dilantik Kementerian Pengangkutan sebagai ejen tempatan untuk mengendalikan operasi dan penjualan tiket dari pulau.

Pengerusi Eksekutif FARZ SERVICES Kapten Roslee Fadzil berkata syarikatnya juga dilantik untuk mengendalikan keluar masuk pelepasan marin, kastam dan imigresen perkhidmatan feri Goodwill Star bagi laluan Labuan-Brunei- Labuan.

“Feri tambahan ini akan membantu merancakkan integrasi nasional dan memberi manfaat ekonomi kepada kedua- dua negara, terutamanya kepada golongan kembara,” katanya. — Bernama