Inisiatif angkat keunikan sape di peringkat nasional

0

BSMKL: Lihan (duduk tengah) bersama (dari kanan) Temenggung Elizabeth,
Datuk Bandar Miri Lawrence Lai dan Jeffrey pada media ‘Baram Sape Master’ Kuala Lumpur 2015 di Permy Mall, Miri semalam.

MIRI: Bagi mengangkat keunikan ‘Raja Muzik Orang Ulu’ atau Sape di peringkat nasional, buat julung kalinya, ‘Baram Sape Master’ Kuala Lumpur 2015 (BSMKL 2015) akan diadakan di luar Sarawak.

Penasihat dan penaja BSMKL 2015 merangkap Ahli Dewan Negara Senator Datuk Lihan Jok berkata, acara itu akan berlangsung di Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) pada 4 dan 5 September.

Beliau berkata, objektif utama festival ini ialah memelihara dan mempertahankan keaslian muzik tradisional Sape Orang Ulu agar terus cemerlang.

”Objektif utama ialah mempromosikan Sarawak dan Malaysia melalui muzik Sape. Justeru, Lembaga Baram Sape mengambil langkah berani dengan menganjurkan persembahan dan pertandingan di dalam dan luar Sarawak,” katanya pada sidang media di Permy Mall, semalam.

Antara objektif BSMKL 2015 ialah berkongsi maklumat dan pengetahuan mengenai seni muzik tradisional Sape yang asal dan asli, menggalak dan melahirkan generasi penyambung dalam bidang seni muzik tradisional selain mengiktiraf kategori pemain berstatus ‘Baram Sape Master.’

Selain itu, ia selari polisi dan dasar kerajaan untuk menarik lebih ramai pelancong seterusnya menggiatkan pertumbuhan ekonomi negara melalui sektor pelancongan serta penganjuran festival warisan tradisional rakyat Malaysia.

“Kita juga berharap festival ini dapat dijadikan sebagai pentas utama bagi membentuk kerjasama dan menyatukan seluruh masyarakat Malaysia.

“Muzik Sape merupakan satu mercu kejayaan masyarakat Orang Ulu dalam mengetengah budaya dan muzik tradisional ke persada dunia,” katanya.

Sementara itu, festival itu terbahagi kepada dua peringkat iaitu peringkat pertama pelancaran BSMKL 2015 di Permy Mall di Miri pada 15 Mei dan pelancaran logo BSMKL 2015 pada 16 Mei yang diadakan sempena dengan Pesta Mei 2015.

Turut diadakan di Miri ialah Pertandingan Muzik Tradisional Sape BSMKL 2015 kategori sekolah kebangsaan dan sekolah menengah dan pusingan pertama pada 16 Mei mulai jam 10 pagi.

Peringkat kedua ialah Malam Anugerah ‘Baram Sape Master’ pada 5 September di Kuala Lumpur.

Pertandingan dan penutupan kategori pelajar akan diadakan di Miri manakala kategori dewasa di Kuala Lumpur.

Juara, naib juara dan tempat ketiga bagi Kategori ‘Sape Master’ akan menerima wang tunai masing-masing RM3,000, RM2,000 dan RM1,000 berserta piala dan sijil.

Kategori Sekolah Menengah masing-masing RM600, RM500 dan RM400 manakala Sekolah Kebangsaan RM400, RM300 dan RM200.

Semua pemenang akan menerima piala dan sijil manakala tiga pemenang sagu hati daripada setiap kategori menerima sijil.

Menurut Lihan, kejayaan penganjuran ‘Baram Sape Master’ 2014 Long Lama membuktikan Sape benar-benar ‘Raja Muzik Orang Ulu.’

“Kita berharap dapat menjadikan Miri sebagai ‘Home of Sape’ memandangkan populasi Orang Ulu di Miri dijangka mencecah 100,000 menjelang 2020.

“Walaupun kita mungkin tidak kuat dari segi ekonomi namun kita masih berpegang kuat dengan budaya,” katanya sambil menambah BSMKL 2015 merupakan satu permulaan bagi mencapai sasaran itu.

Sementara itu, Datuk Bandar Lawrence Lai menyambut baik BSMKL 2015 yang diadakan serentak dengan penganjuran Pesta Mei 2015.

“Usaha membawa festival ini ke Kuala Lumpur bukan hanya mempromosikan Sape dan Orang Ulu malah pada masa yang sama membawa nama Miri ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.

 

Hadir sama jawatankuasa penganjur Jeffrey Jalong, Jok Eng Jok dan Temenggung Elizabeth Deng.