Jangan salah guna bantuan MRP

0

Penerima perlu guna dana untuk manfaat penduduk setempat, kata Lee

Oleh Mohd Norhadie Sahari //

MIRI: Penerima geran projek kecil luar bandar (MRP) dinasihat supaya menggunakan bantuan bagi menjalankan aktiviti bukannya diguna bagi tujuan peribadi.

Menteri Muda Perhubungan, Datuk Lee Kim Shin berkata demikian selepas menyampaikan MRP kepada 10 persatuan di pejabatnya awal pagi semalam.

Jelas Lee, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menerimanya harus berjimat cermat supaya penganjuran sebarang aktiviti dan pengurusan pertubuhan masing-masing lancar.

“Kerajaan menyalur bantuan supaya persatuan atau pertubuhan dapat menganjur aktiviti yang boleh memberi manfaat kepada penduduk setempat dan ia tidak harus disalah guna,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Senadin itu turut memberitahu MRP adalah peruntukan diberi kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk dikongsi bersama bukannya hak individu.

“Kita tidak mahu apabila peruntukan ini disalur kepada mereka, tiada laporan sebarang aktiviti atau projek kecil dilaksana meski wang diberi,” jelasnya.

Jelas Lee, penerima MRP ini harus merancang dan melaksana projek kecil bagi memasti wang kerajaan benar-benar dimanfaat rakyat.

Menteri Muda Sukan itu menjelaskan, kerajaan BN sangat prihatin masalah dihadapi rakyat terutama dalam isu melibat peruntukan dana dan sebagainya.

Beliau berharap geran kerajaan itu mampu memberi peluang kepada persatuan menjayakan aktiviti demi kebaikan bersama.

Jumlah keseluruhan MRP yang disampai Lee sebanyak RM90,000.

Antara persatuan menerima bantuan itu ialah Unity Cultural Group, PDK Mosjaya Miri, JKK RT Kawasan Riam Tengah, Persatuan Persahabatan Miri dan Kelab Badminton Lopeng.

Turut menerima ialah Tentuan Persatuan Nelayan Kawasan Miri, RELA Permyjaya, Pusat Aktiviti Warga Emas, Kelab Kebudayaan dan Keseniaan Senadin Miri serta Persatuan Renang Amatur Miri.