Sarawak Timber, SMEs Expo dalam skala lebih besar

0

Oleh Agnes Tugong //

ELEGAN: Sebahagian daripada produk-produk yang diperbuat sepenuhnya daripada kayu akasia.

PAMERAN Sarawak Timber dan SMEs Expo telah berlangsung dari 17 hingga 20 April lepas di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) Program dwitahunan tersebut merupakan anjuran bersama Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (STIDC) dan Kementerian Pembangunan Perindustrian.

Tahun ini, Sarawak Timber dan SMEs Expo dianjurkan dalam skala yang lebih besar dengan 400 lebih gerai pameran dibuka yang disertai oleh peserta tempatan dan antarabangsa.

Antara nama-nama besar dalam industri perkayuan yang mengambil bahagian pada expo ini ialah Samling Group, Pusaka KTS Forests Plantation Sdn Bhd, Ta Ann Holdings Berhad, WTK Group of Companies dan Rimbunan Hijau Group yang juga merupakan penaja enam bagi acara ini.

Sementara itu, peserta antarabangsa terdiri daripada Korea Utara, Vietnam, India, China, Japara dan Kalimantan Barat, Indonesia selain Sabah dan Semenanjung Malaysia.

Seperti penganjuran sebelumnya, ciptaan ‘House of Acacia’ sekali lagi menjadi tarikan utama pada expo ini yang merupakan inisiatif bersama STIDC dan Samling Group of Companies.

Satu lagi tarikan ialah ciptaan ‘Bamboo Gallery’ yang mempamerkan pelbagai jenis produk yang dibuat daripada buluh bagi menyemai kesedaran terhadap penggunaan buluh.

Sementara itu, Sarawak Timber dan SMEs Expo 2015 telah dirasmikan oleh Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan mewakili Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem pada 18 April.

MAHU YANG TERBAIK: Orang ramai tawarmenawar pada hari terakhir Sarawak Timber dan SMEs Expo di BCCK.