Sri Aman tundukkan Bintulu

0

GEMBIRA: Pemain dan jurulatih Samarahan meraikan kejayaan melangkah ke separuh akhir selepas membenam Sarikei 5-0 di Kompleks Sukan Sri Aman.

Layak ke separuh akhir Piala Sarawak Wanita, manakala Kuching, Miri berentap hari ini

SRI AMAN: Skuad warga kota, Kuching mengesahkan slot ke pusingan separuh akhir Kejohanan Bola Sepak Wanita Piala Sarawak 2015 selepas menang bergaya 4-0 ke atas Betong dalam aksi yang berlangsung di Padang Lama KPS semalam.

Bintang Kuching, Zaiton Ali meletakkan skuadnya di hadapan dengan jaringan cantik pada minit ke-23 dan disusuli jaringan kedua oleh Valerie Semunau pada minit ke-25.

Kuching menambah dua lagi jaringan pada babak kedua masing-masing menerusi Nur Azizah Isa pada minit ke-37 dan Ashikin Mohamad Anuar minit ke-43.

“Syabas kepada semua pemain kerana berjaya membawa Kuching mara ke separuh akhir.

Ini semua berkat komitmen dan dedikasi para pemain sendiri,” kara jurulatih Kuching, Khalid Sulung ditemui di sini semalam.

Harapan beliau semua pemain dapat mengekalkan momentum kemenangan apabila turun dalam aksi separuh akhir hari ini.

Kuching bakal berdepan Miri selepas skuad dari utara itu berjaya mengatasi Sibu dengan 2-0 dalam satu lagi aksi suku akhir yang berlangsung di Kompleks Sukan Sri Aman semalam.

Pengendali Miri, Marcos Brahim ternyata gembira dengan kejayaan anak-anak buahnya melangkah ke separuh akhir.

Namun, kebimbangan melanda beliau selepas beberapa pemain utama berdepan masalah kecederaan selepas perlawanan tersebut.

“Kredit untuk semua pemain selepas mempamerkan aksi yang cukup cemerlang.

Kita cuba memberikan persembahan terbaik dan berharap semua pemain dapat meningkatkan corak permainan untuk berdepan Kuching nanti,” katanya.

Sementara itu, tuan rumah Sri Aman melakar sejarah tersendiri selepas berjaya melayakkan diri ke peringkat separuh akhir selepas mengejutkan Bintulu dengan 1-0 pada perlawanan cukup sengit berlangsung di Padang Lama KPS semalam.

Anak-anak buah Cassidy Morris menghadirkan pada minit ke-18 menerusi kaptennya, Merydiana Sindawat apabila penyerang lincah itu berjaya mengelecek dua pertahanan lawan sebelum meledak kencang untuk menewaskan penjaga gol Bintulu.

“Saya cukup bangga dengan apa yang ditunjukkan semua pemain dan kita wajar memenangi perlawanan ini.

Misi seterusnya adalah mara ke perlawanan akhir dan saya percaya dapat dicapai jika semua pemain mengekalkan corak permainan terbaik,” kata Cassidy mengulas perlawanan itu semalam.

Sementara itu, Samarahan berpesta gol membenam Sarikei dengan 5-0 dalam satu lagi aksi suku akhir berlangsung di Kompleks Sukan Sri Aman.

Ketika ditemui pengurus pasukan Haidel Heli merakamkan syabas kepada semua pemain berjaya melangkah ke separuh akhir.

Namun, beliau mengingatkan pemain-pemain saingan separuh akhir dijangka lebih sengit kerana menyedari prestasi Sri Aman semakin baik.

“Peluang kita pada separuh akhir 50-50 dan saya percaya Sri Aman berkelebihan kerana mereka mendapat sokongan peyokong sendiri.

“Apapun, kita juga mempunyai misi sendiri iaitu melangkah ke perlawanan akhir dan berharap agar semua pemain meningkatkan corak permainan pada aksi (hari ini),” ujarnya.

Perlawanan antara Sri Aman dan Samarahan akan berlangsung di Padang Lama KPS manakala Kuching berdepan Miri di Kompleks Sukan Sri Aman.

Kedua-dua perlawanan bermula jam 8 pagi ini.