Cadangan bina Jambatan Kuala Igan di peringkat meluluskan tender

0

KUCHING: Cadangan pembinaan Jambatan Kuala Igan, antara projek yang tersenarai dalam lebuh raya pesisir Sarawak kini di peringkat meluluskan tender.

Mendedahkan perkara itu kepada media semalam, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata pengumuman rasmi mengenai perkara itu akan dibuat sebaik selepas projek itu dimuktamadkan.

“Di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10), tersenarai pembinaan Jambatan Batang Sadong dan Jambatan Batang Samarahan. (Jambatan) Igan juga akan dibina. Saya fikir peruntukan sudah ada, tender akan dikeluarkan nanti.

“Saya tidak ada maklumat terperinci (mengenai projek ini) sekarang. Saya akan umumkan sebaik ia dimuktamadkan.

“Jika saya umumkan sekarang, mungkin angka (jumlah kos) tidak tepat,” katanya kepada pemberita semalam.

Terdahulu beliau menyempurnakan Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia Cawangan Sarawak (PGPMMS) di Pusat Penerangan Islam di sini.

Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya berkata, Kerajaan Negeri Sarawak telah mengemukakan kertas cadangan membina tujuh jambatan bagi menghubungkan jalan-jalan pesisir pantai di negeri ini.

“Seperti kita sedia maklum, kerajaan akan melihat kepada semua aspek termasuk pendapatan (negara) dan semua permintaan daripada setiap negeri.

“Selepas itu, kerajaan akan menetapkan (harga) siling untuk Rancangan Malaysia Ke-11, kemudian kita akan melihat keutamaan.

“Ini kerana setiap orang bertanya, jadi ia banyak bergantung kepada pendapatan kita dan dari situ kita membahagikannya.

“Sudah tentu, jika anda bertanya kepada saya, kami sokong pembinaan jambatan tersebut,” ujarnya.

Sementara itu pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini, beberapa wakil rakyat Barisan Nasional (BN) dari kawasan-kawasan pesisir pantai Sarawak memohon peruntukan lebih RM3 bilion diberikan kepada negeri ini di bawah RMK11 untuk membina tujuh jambatan.

Cadangan-cadangan projek ialah Jambatan Batang Rambungan sepanjang 600 meter, Jambatan Batang Lupar (9,600m), Jambatan Batang Saribas (2,300m), Jambatan Kuala Igan (1,500m), Jambatan Batang Paloh (1,500m), Jambatan Batang Lassa (5,340m) dan Jambatan Sungai Krian (700m) bagi menghubungkan jalan-jalan pesisir pantai di negeri Sarawak.

Manakala bahagian, bandar dan daerah yang bersempadankan pesisir pantai ialah Sematan, Lundu, Muara Tuang, Asajaya, Sadong Jaya, Sebuyau, Simunjan, Pusa, Beladin, Kabong, Saribas, Belawai, Semop, Daro, Mukah, Bintulu, Miri, Limbang dan Lawas.