Jambatan Batang Sadong dijangka kembang ekonomi penduduk tempatan

0

KUCHING: Ekonomi penduduk tempatan dijangka lebih berkembang apabila Jambatan Batang Sadong siap dibina kelak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sadong Jaya Aidel Lariwoo berkata jambatan itu merupakan pelengkap kepada jalan pesisir Sarawak yang berupaya memperkasakan ekonomi Bumiputera.

“Manfaatnya ialah memendekkan masa perjalanan hampir 50 peratus di samping mengurangkan kos logistik, juga pengembangan pembangunan ekonomi yang lain di Sadong Jaya,” katanya ketika melawat kawasan diwakilinya baru-baru ini.

Menurutnya, seperti dilaporkan oleh menteri pada Persidangan Dewan Undangan Negeri baru-baru ini, proses pembinaan jambatan itu kini berada pada tahap 75 peratus siap.

Ia merupakan jambatan terpanjang di Sarawak dan merupakan sebahagian daripada jalan pesisir.

Aidel ialah seorang daripada sembilan ADUN yang mengetengahkan betapa mustahaknya kawasan pesisir dibina lebuh raya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri baru-baru ini.

Antaranya ialah wakil rakyat dari kawasan pesisir seperti ADUN Sebuyau Datuk Julaihi Narawi, Razaili Gapor (Beting Maro), Abdullah Saidol (Semop) dan Yussibnosh Balo (Balingian).

Justeru, mereka meminta kerajaan negeri memohon peruntukan sekurang-kurangnya RM3 bilion daripada kerajaan persekutuan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11.

Peruntukan itu adalah untuk membina tujuh jambatan menghubungkan kawasan pesisir yang kini bergantung kepada perkhidmatan feri.