Kenyataan Logos Hope kristiankan rakyat dibidas

0

Nansian membidas kenyataan ISMA yang mendakwa Logos mengadakan program mengkristiankan rakyat

KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri Tasik Biru Datuk Peter Nansian Ngusie membidas kenyataan ISMA yang lebih berbaur amaran kepada pembaca artikel laman web mereka terhadap isu Logos Hope yang dikatakan mengadakan program mengkristiankan rakyat.

Ahli ISMA kata Nansian, harus berusaha menguatkan kepercayaan terhadap ajaran agama mereka sendiri, belajar menghormati agama orang lain dan jangan terlalu mencurigai banyak perkara remeh.

“Agama adalah pilihan. Jika seseorang itu mempunyai kepercayaan agama yang kukuh, tidak ada cara untuk sesiapa sahaja mencuba dan menukar dia daripada agamanya atau dia keluar daripada agamanya,” kata Nansian kepada pemberita selepas menyampaikan geran kerajaan kepada pelbagai jawatankuasa gereja di Gereja Katolik St Stephen di Bau, semalam.

Nansian yang juga Menteri Muda Perkhidmatan Masyarakat dan Menteri Muda Pembangunan Perindustrian menambah, di Malaysia rakyat bebas untuk beribadah atau mengikut mana-mana agama pilihan mereka.

“Di Sarawak, Ketua Menteri kita Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem telah menyatakan dengan jelas bahawa orang Kristian boleh menggunakan perkataan ‘Allah’ untuk merujuk kepada Tuhan. Ia tidak pernah menjadi isu di sini,” katanya.

Beliau katanya memuji Adenan yang melarang mana-mana pelampau atau fanatik agama daripada memasuki negeri ini untuk melindungi perpaduan kaum dan agama yang telah lama wujud di negeri ini.

Sementara itu, kapal Logos Hope yang mengadakan pameran buku terapung telah meninggalkan Malaysia.

Seorang editor lawan web telah mendakwa bahawa pemilik kapal Gerakan Antarabangsa (OM) yang memiliki Logos Hope menjadi propagandis Kristian.

Artikel itu juga mendakwa bahawa OM mencapai banyak kejayaan dalam menyebarkan agama Kristian di negara-negara Islam seperti Malaysia dengan berselindung di sebalik pameran buku terapung berkenaan.