Penganjur acara tidak tunjuk contoh baik

0

Peserta kecewa penganjur ‘Share The Road Event’ di Dataran Bandar Sibu gagal hadir

Oleh Watt Zacchaeus //

SIBU: Peserta dan media hadir pada program berbasikal ‘Share The Road Event’ di Dataran Bandar Sibu berasa sangat kecewa apabila penganjurnya gagal hadir.

Kekecewaan itu turut mengundang rasa kesal apabila para peserta dan media terpaksa menunggu dalam keadaan hujan dalam masa yang lama.

Salah seorang peserta warga emas berumur 55 tahun yang enggan namanya didedahkan berkata, pengerusi penganjur program tersebut harus memaklumkan lebih awal sama ada program itu dibatalkan atau menangguhkannya pada satu tarikh lain.

“Saya dan dua rakan lagi telah berbasikal meredah hujan dari Sibu Jaya seawal jam 5 pagi lagi untuk menyertai program ini bagaimanapun selepas menunggu sehingga jam 8.30 pagi, kami langsung tidak melihat batang hidung penganjurnya hadir seperti yang dijanjikan sebelum ini.

“Kami tertanya-tanya apa yang sebenarnya berlaku kepada pengerusi penganjur. Jika  tidak dapat hadir sendiri, penganjur boleh mewakilkan seseorang daripada ahli jawatankuasanya bersedia di Dataran Bandar Sibu untuk memaklumkan kepada peserta bahawa program dibatal atau ditangguh.

“Jadi, kami tak payahlah menunggu berjam-jam dalam keadaan cuaca hujan,” katanya kepada pemberita, semalam.

Seorang lagi peserta yang turut hadir dan hanya ingin dikenali sebagai Sazali dari Kampung Jeriah, Batu 7, Jalan Oya di sini turut meluahkan nada tidak puas hatinya dengan sikap penganjur.

“Ini menunjukkan penganjur tidak profesional dan tidak bertanggungjawab dengan membiarkan para peserta yang hadir berhujan gara-gara menunggu mereka.

“Jika pengerusi penganjur dan jawatankuasanya dalam kalangan pemuda profesional, mereka perlu hadir awal terlebih dahulu sebelum mana-mana peserta hadir di tempat yang dijanjikan.

“Tetapi, kami yang hadir dulu bosan menunggu mereka yang tidak muncul-muncul lagi,” tegasnya.

Menurutnya, penganjur patut belajar bagaimana untuk menjadi lebih profesional dan bertanggungjawab dalam mengendalikan sebarang program terutama melibatkan orang awam dalam semua peringkat umur.

“Jika mereka terus menganjurkan cara ini ia pasti akan memberi kesan kepada imej mereka di mata orang ramai. Jadi untuk mengelakkannya, mereka perlu lebih profesional dan bertanggungjawab,” katanya dalam nada kecewa.

Untuk fakta, pengerusi penganjurnya sebelum ini telah mengadakan sidang media tentang program tersebut pada 30 April lepas.

Beliau mengumumkan bahawa acara itu akan diadakan pada jam 7 pagi pada 3 Mei di Dataran Bandar Sibu.

Jelasnya, peserta mendaftar awal akan mendapat cenderamata ditaja oleh Hong Seng Cycle.

Katanya program ini telah diubah dari setiap Sabtu minggu pertama kepada setiap Ahad minggu pertama setiap bulan.

“Ini kerana ramai peserta masih bekerja pada hari Sabtu, selain kesesakan lalu lintas pada hari tersebut,” ujarnya pada sidang media tersebut.

Beliau berkata, kira-kira 500 peserta telah menghadiri acara pertamanya yang telah diadakan pada bulan Mac lalu yang dianjurkan oleh Majlis Belia Sibu.

Program berbasikal ‘Share The Road Event’ bertujuan mendidik pengguna jalan raya yang lain agar berkongsi jalan dengan penunggang basikal, selain memberi sedikit laluan kepada mereka.

Sementara itu, pihak media berusaha menghubungi penganjur namun gagal apabila panggilan telefon tidak dijawab.